Salahkah buat rumah terbuka PM di 6 negeri?


TIDAK salah perdana menteri mengadakan rumah terbuka hari raya di enam buah negeri, iaitu di Kedah, Trengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor jika perdana menteri gunakan wang parti sendiri iaitu wang Parti Keadilan Rakyat, wang Pakatan Harapan (PH) atau wang peribadi perdana menteri sendiri.

Bila pula ia menjadi salah?

Ia menjadi salah jika perdana menteri menggunakan wang Kerajaan Pusat ataupun Menteri-Menteri Besar dari kalangan kerajaan Negeri pimpinan PH menggunakan wang kerajaan negeri ataupun wang Kerajaan Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan, PBT). 

Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

Apa contoh di peringkat dunia di mana satu kesalahan menggunakan wang dan harta kerajaan?

Satu ketika dahulu Perdana Menteri India bernama Indira Gandhi pernah didapati bersalah oleh mahkamah India kerana menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen di dalam pilihanraya. 

Akibatnya Indira Gandhi disabitkan bersalah dan dia bersama-sama kerajaan Kongres pimpinannya tumbang.

Kita tentu tidak ingin melihat perdana menteri dan kerajaan madani pimpinannya tumbang gara-gara rumah terbuka hari raya.

Adakah okay tak mengapa jika wang kerajaan yang digunakan tak banyak mana untuk adakan rumah terbuka hari raya Perdana Menteri?

Memang ada peruntukan perdana menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hariraya. 

Memang kerajaan sediakan peruntukan wang untuk majlis seumpama itu. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. 

Tetapi mengadakan rumah terbuka raya semacam road show untuk perdana menteri dari sebuah negeri ke sebuah negeri hingga enam negeri adalah fenomena baru. 

Ini yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

Mungkin jumlah wang kerajaan yang digunakan untuk perbelanjaan mengadakan majlis rasmi rumah terbuka hari raya peringkat nasional dan negeri menelan belanja tidak sampai juta-juta ringgit, tetapi perlu diingat setiap seringgit pun duit kerajaan adalah duit awam, bermakna duit rakyat yang perlu dibelanja secara berhemah dan tidak melanggar etika moral dan undang-undang. 

Contohnya berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India Indira Gandhi berkempen pilihan raya. 

Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa.

Ramai yang telah bantah

Saya melihat banyak pihak menyuarakan bantahan. Mereka tidak membantah perdana menteri mengadakan rumah terbuka di enam buah negeri yang terlibat. 

Yang mereka bantah ialah anggapan yang ada sekarang ialah wang awam ataupun wang kerajaan akan digunakan untuk membiayai majlis rumah-rumah terbuka di enam buah negeri yang khusus sahaja yang kebetulannya akan mengadakan pilihan raya negeri masing-masing, mungkin pada bulan Julai akan datang.

Jadi apa yang perdana menteri kena buat?

Saya penyokong kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak sebelum dia jadi perdana menteri hinggalah sekarang. Namun begitu saya ingin memberi pendapat secara jujur. 

Saya berpendapat sebelum terlambat eloklah perdana menteri Anwar Ibrahim umumkan wang kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai road show rumah-rumah terbuka raya itu. 

Perdana menteri kena umumkan Parti Keadilan Rakyat dan PH serta perdana menteri secara peribadi akan gunakan wang sendiri.

Dalam masa sama 84 orang ahli-ahli parlimen PH dan ratusan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN PH) di seluruh negara perlu dikerah supaya tampil ke hadapan membantu Perdana Menteri untuk menampung kos mengadakan rumah-rumah terbuka raya itu.

Kenapa tidak boleh gunakan wang kerajaan?

Sebabnya mudah. Kerajaan Persekutuan pimpinan perdana menteri perlu berjimat. Seperti perdana menteri sebut di dalam Parlimen bahawa hutang negara sekarang sudah mencecah 1.5 trillion ringgit iaitu 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion.

Jangan rosakkan imej baik PM

Dalam masa lima bulan sahaja Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan beberapa contoh yang baik iaitu kepimpinan melalui teladan. 

Misalnya pertama perdana menteri tidak mengambil gaji dan elaunnya sebagai perdana menteri dan juga Menteri Kewangan. 

Inilah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa perdana menterinya membuat kerja dan memikul tanggungjawab secara pro bono iaitu tanpa bayaran. 

Contoh kedua perdana menteri juga membuat keputusan menteri-menteri kabinet juga mengalami pemotongan gaji dan elaun sebanyak 20%.

Ini semua langkah terpuji. Ia bukan retorik atau “lip service”. Pengorbanan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri dalam kabinetnya adalah perkara yang nyata dan “real”.

Adakah rumah terbuka raya di enam buah negeri yang khusus itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi?

Sebagai ahli Parlimen penyokong kerajaan madani saya cuba memujuk diri saya sendiri supaya dapat yakin dan percaya bahawa  program rumah terbuka road show di enam negeri itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi. 

Tetapi saya tidak boleh menipu diri saya sendiri. Saya juga percaya tidak ada siapa yang percaya bahawa rumah-rumah terbuka raya di enam buah negeri khusus terpilih itu tidak ada kena mengenai dengan pilihan raya negeri akan datang. 

Kesimpulannya buatlah rumah-rumah terbuka raya di mana-mana. Raya pun sebulan. Tidak jadi masalah. Bukan satu isu. Tetapi tolonglah jangan gunakan wang awam atau wang kerajaan. Noktah. – 27 April, 2023.

* Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen