Kematian Covid-19 turun 95% tahun ini, kata WHO


Kematian Covid-19 menurun sebanyak 95 peratus sejak awal tahun tetapi WHO memberi amaran virus itu masih ada. – Gambar AFP, 27 April, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata kematian Covid-19 menurun sebanyak 95 peratus sejak awal tahun tetapi memberi amaran virus itu masih ada.

WHO berkata Covid-19 masih kekal ada dan negara perlu belajar cara menguruskan kesan bukan kecemasan yang berterusan termasuk keadaan pasca Covid-19 atau Long Covid.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang media berkata walaupun berlaku penurunan tetapi beberapa negara menunjukkan peningkatan kematian sejak empat minggu lalu dengan 14,000 orang maut akibat wabak berkenaan.

Ketua teknikal WHO mengenai Covid-19 Maria Van Kerkhove berkata sub-keturunan XBB kini dominan di seluruh dunia.

Beliau menyeru orang ramai untuk meningkatkan pengawasan melalui ujian supaya dapat memantau virus itu sendiri dan memahami maksud setiap mutasi ini.

Sementara itu Tedros berkata dianggarkan satu daripada 10 jangkitan mengakibatkan Long Covid menunjukkan ratusan juta orang memerlukan penjagaan jangka panjang.

Ketua WHO itu juga menyatakan bagaimana pandemik Covid-19 mengganggu program vaksinasi dengan dianggarkan 67 juta kanak-kanak terlepas sekurang-kurangnya satu vaksinasi penting antara 2019 dan 2021.

Berikutan kemajuan sedekad yang terhenti, kadar vaksinasi kembali seperti sedia ada pada 2008 yang membawa kepada peningkatan wabak campak, difteria, polio dan demam kuning.

Semua negara mesti menangani “halangan kepada imunisasi, sama ada akses, ketersediaan, kos atau maklumat yang salah”, katanya. – AFP, 27 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen