JABATAN Penjara Malaysia menolak permohonan sekumpulan ahli politik luar negara untuk melawat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh.
Sumber mengatakan jabatan tidak memberikan sebarang sebab mengapa permohonan Progressive Alliance (PA), sebuah kumpulan antarabangsa terdiri daripada 140 buah parti politik sosial demokratik ditolak.
Delegasi kumpulan itu diwakili empat orang termasuklah Ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) Neena Gila yang juga ahli Parti Buruh UK.
Dalam sepucuk surat dilihat The Malaysian Insight, Pengarah Penjara Sungai Buloh Abd Kadir Rais berkata hanya ahli keluarga diberikan keutamaan melawat Anwar.
“Anwar sedang dirawat di hospital dan keutamaan hanya diberikan kepada keluarganya. Sehubungan itu, permohonan anda untuk melawat tidak dipertimbangkan,” katanya.
Bekas presiden PKR itu sedang dirawat selepas menjalani pembedahan berkaitan kecederaan yang dialaminya selepas terlibat dalam satu kemalangan September lepas.
Anwar sebelum ini menerima lawatan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Penolakan permohanan itu adalah yang terbaru selepas bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilarang melawat Anwar Januari lepas. – 20 Mac, 2018.
Komen