Wujudkan pelan khusus sebelum naik taraf, bina gerai, kata pengusaha


Noel Achariam

Pihak berkuasa tempatan diminta adakan pertemuan dengan pihak berkepentingan sebelum memulakan sebarang projek untuk mencantikkan, menaik taraf atau membina pusat penjaja, gerai atau kiosk baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2023.

MAJLIS bandaraya dan pihak berkuasa tempatan mesti mempunyai rancangan khusus sebelum mereka memulakan sebarang projek untuk mencantikkan, menaik taraf atau membina pusat penjaja, gerai atau kiosk baharu, kata pengusaha.

Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Rosli Sulaiman berkata perbincangan mesti diadakan dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan yang lebih baik mengenai apa yang perlu dilakukan.

“Sebarang kerja naik taraf perlu dilakukan dengan input persatuan.

“Kami mahu majlis bandaraya mengadakan perbincangan dengan kami dan bukan sekadar membina, menaik taraf atau meletakkan gerai di kawasan yang tidak strategik. Ini tidak akan menguntungkan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 1.8 juta penjaja dan peniaga berdaftar di seluruh negara.

Pada 24 Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai serta kiosk untuk penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan di seluruh negara.

Rosli berkata, kawasan yang perlu dinaik taraf ialah Pasar Pudu yang dibina pada 1957.

“Pasar Pudu mesti dinaik taraf memandangkan ia sudah sangat lama. Terdapat juga projek pembangunan semula Pasar Chow Kit yang tertangguh hampir 10 tahun.

“Kita juga mahu kiosk dibina untuk 143 peniaga di Jalan Masjid India.

“Mereka beroperasi di bazar itu, tetapi ia telah terbakar dan kini mereka ditempatkan di lorong-lorong sekitar kawasan yang tiada pelanggan.

“Kami mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membina kiosk untuk peniaga di kedua-dua belah Jalan Masjid India sama seperti di Petaling Street dengan kubah.”

Mengenai peruntukan, Rosli berkata perlu ada mekanisme yang betul untuk mengagihkan dana tersebut.

Beliau berkata persatuan itu akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Mohd Baba Kutty mengalu-alukan peruntukan itu, tetapi berkata dana itu sebenarnya tidak mencukupi untuk menaik taraf gerai di seluruh negara.

“Walaupun RM50 juta untuk Kuala Lumpur saya rasa tidak mencukupi. Tetapi, kami mengalu-alukannya.”

Beliau bagaimanapun berkata sebelum sebarang projek dilaksanakan majlis bandaraya (DBKL) memerlukan idea atau cadangan khusus bagaimana ia akan dinaik taraf.

“Maka barulah dana itu boleh diagihkan dengan sewajarnya. Jika mereka (DBKL) hanya akan menampal kerja maka ia bukan peningkatan, tetapi pembaziran wang.

“Kita boleh lihat banyak medan selera dibina di lokasi tidak strategik dan mereka kurang atau tiada pelanggan. Jadi, mereka mesti ada idea apa yang perlu dinaik taraf atau dibina.

“Terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Mereka (majlis bandaraya) mesti mempunyai reka bentuk dan peruntukan khusus mengenai apa yang mereka mahu bina.”

Baba juga berkata adalah penting bagi majlis berbincang dengan persatuan mengenai apa yang mereka perlukan.

“Jika pihak majlis akan membina medan selera baharu, maka mereka perlu memaklumkan kepada penjaja tentang penempatan semula, menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan menempatkannya di kawasan yang terdapat pelanggan.

“Kami juga ingin tahu bagaimana bajet itu akan diagihkan?”

Baba berkata bahawa dia telah menghantar surat ihsan mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar yang baru dilantik Kamarulzaman Mat Salleh dan berharap dapat bertemu dengannya tidak lama lagi.– 27 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen