Tak perlu wajibkan pakai pelitup muka di sekolah, kata MMA


Ravin Palanisamy

Amalan mencuci tangan dengan kerap lebih penting berbanding memakai pelitup muka di sekolah, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April 2023.

TIADA keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan susulan penularan varian baharu Covid-19, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Sebaliknya, amalan mencuci tangan dengan kerap lebih penting berbanding memakai pelitup muka di sekolah, menurut presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai dalam satu kenyataan hari ini.

“Guru harus mengingatkan pelajar untuk membersihkan tangan dengan lebih kerap dan mengelak daripada menyentuh muka mereka.

“Mana-mana pelajar yang mempunyai simptom hendaklah memakai penutup muka, menjalani ujian kendiri dan mengasingkan diri, jika didapati positif selaras dengan sistem TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan dan Cari) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dr Muruga berkata sekolah juga boleh meminta guru dan pelajar menjalani ujian kendiri pada petang sehari sebelum sesi persekolahan bermula setiap minggu.

“Bagaimanapun langkah ini hanya untuk tempoh yang singkat bagi mengelakkan penularan wabak di sekolah selepas cuti Hari Raya,” tambahnya.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata pelajar yang mempunyai simptom hendaklah memakai penutup muka, menjalani ujian kendiri dan mengasingkan diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April 2023.

Beliau selain itu menasihatkan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan diet yang seimbang, kerap bersenam dan bersukan.

“Langkah mudah ini akan membantu mereka membina sistem imun yang kuat, pertahanan semula jadi tubuh terhadap penyakit.”

Dr Muruga berkata vaksinasi, memakai pelitup muka dan membersihkan tangan bukan satu-satunya komponen penting dalam membendung jangkitan Covid-19.

“Kita juga perlu mengambil langkah untuk menjaga kesihatan kita, perkara utama yang belum cukup ditekankan.

“Seseorang yang mempunyai sistem imun yang lemah akan mempunyai peningkatan risiko Covid-19 yang teruk,” katanya.

DR Muruga mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini, yang mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di sekolah atas kebimbangan kes Covid-19 meningkat semula ekoran penularan varian baharu XBB.1.16 atau Arcturus.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, bagi membincangkan perkara itu.

Beliau juga berkata garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) di sekolah akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan bermula pada 2 Mei ini. – 26 April 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen