Budaya balik kampung, raya berubah ikut generasi


Mohd Azizi Jaeh

Kesesakan di lebuh raya adalah pemandangan biasa pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi ia tidak menjadi penghalang orang ramai pulang ke kampung halaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2023.

BAGI generasi lama, memori mereka akan pasti tersentuh apabila mengenang zaman muda  pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Puasa.

Perubahan zaman dan  peralihan daripada generasi ke generasi mencetuskan fenomena baru yang tidak terelakkan. Ini membuatkan suasana raya dulu dengan raya sekarang berbeza.

Sama ada individu atau unit keluarga itu bermastautin di desa atau di kota atau juga di mana-mana negeri jurang sambutan perayaan sekarang juga tidak jauh berbeza.

Salah satu aspek yang mendekatkan jurang ialah berlakunya kepesatan proses perbandaran, peningkatan mobiliti sosial anggota masyarakat dan perubahan budaya kepenggunaan.

Banyak kawasan yang dulunya dianggap tipikal atau terlalu pekat dengan ciri luar bandar, kekampungan dan ceruk pedalaman kini telah berubah wajah dan dibangunkan.

Sekali gus ia tidak lagi mengasingkan kawasan ini daripada menyerap budaya hidup kosmopolitan yang ada kota raya besar dan pekan yang baru tumbuh.

Meskipun penghijrahan dan migrasi generasi muda ke bandar dalam kuantiti yang semakin besar, keterhubungan mereka dari tempat asal kelahiran dengan tempat mereka diami atau bekerja kini bukan lagi ukuran.

Pendek kata, jarak fizikal bukan lagi masalah yang memisahkan hubungan dan ikatan kekeluargaan.

Liputan teknologi dan penggunaan meluas media sosial dalam kalangan generasi perantau kini antara faktor yang memecahkan tembok perasaan berjauhan dengan keluarga.

Ada perantau di Lembah Klang umpamanya terpaksa merentasi Banjaran Titiwangsa sempadan yang memisahkan Pantai Barat dengan Pantai Timur.

Ada yang perlu menempuh perjalanan panjang ratusan kilometer dari Utara hingga ke Selatan dan menempuhi lautan untuk pulang ke Borneo.

Namun rasa kejauhan dan keterpisahan generasi kini dengan keluarga tercinta semakin cair. Rata-rata perasaan yang berbalut kepingan rindu yang tebal seperti generasi dulu semakin memudar.

Faktor pemilikan kenderaan sendiri, jaringan perhubungan ke destinasi dan tambang penerbangan yang mampu milik memudahkan perantau pulang ke kampung pada bila-bila masa – tidak terbatas pada musim perayaan semata-mata.

Jika dahulu balik raya sesuatu yang sungguh-sungguh dinantikan perantau. Balik kampung mungkin hanya berlaku setahun sekali atau mungkin mengambil keputusan tidak balik pada tahun tersebut.

Bahkan, lagu nyanyian allahyarham Sudirman berjudul “Balik Kampung” begitu memukau dan menerbitkan kerinduan yang mendalam.

Aidilfitri satu detik menggembirakan bagi kelompok perantau yang bekerja dan menuntut di Sabah dan Sarawak. Namun ada kalangan mereka terpaksa menangguhkan hasrat pulang beraya kerana menimbangkan faktor kos perjalanan yang agak tinggi.

Ramai tidak pulang atas faktor yang disebutkan tadi, namun kini jika tidak pulang beraya sesuatu dianggap janggal.

Berbeza kini, generasi perantau yang menetap di bandar sering pulang menjenguk ibu bapa dan adik-beradik mereka di kampung dan tidak hanya tertumpu kepada hari raya sahaja.

Tidak menghairankan sesetengah daripadanya sanggup balik setiap bulan ke kampung halaman kerana ada cuti tahunan, cuti rehat khas, cuti perayaan kaum lain, cuti persekolahan, cuti semester yang panjang dan sebagainya.

Apabila sering berjumpa dan turut membawa ibu bapa tinggal bersama di kota dalam tempoh tertentu menjadikan aktiviti balik kampung untuk beraya satu perkara yang sangat biasa dan lazim.

Perantau kini bukan lagi bersendirian di kota. Dalam banyak keadaan, mereka tinggal bersama adik-beradik yang lain dan sering juga dikunjungi ibu bapa mereka.

Pada satu segi, kampung tidaklah seindah yang dibayangkan. Perbezaan, konflik antara komuniti di dalamnya, sejarah suka duka yang pernah dilalui perantau masih membekas dalam ingatan.

Ini mungkin membuatkan perantau tidak terlalu ghairah dengan aktiviti balik kampung.

Namun bagi kebanyakan penghuni kota, kampung tetap ada rasa nostalgia tersendiri yang tidak dapat digantikan dengan kebingitan kota.

Nostalgia terhadap kampung akan terus mekar sebagai tempat lahir, membesar dengan asuhan didikan mak ayah bagi generasi perantau.

Juadah raya seperti lemang, ketupat, rendang dodol dan kuih-muih tradisional juga kini boleh didapati dengan mudah di bandar dan pada bila-bila masa.

Tetapi ianya tidak sama dengan air tangan ibu bapa yang menghasilkan untuk santapan anaknya di pagi syawal.

Kepulangan perantau pada tahun ini ke kampung halamannya juga mungkin menjadi perayaan terakhir bersama kedua-dua orang tuanya. 

Biar apa pun, balik kampung memberikan pemaknaan sama dan berbeza pada setiap generasi yang berbeza.

Dalam suasana sedemikian, balik kampung sebagai lambang aktiviti perkumpulan anggota keluarga yang berkesan dan menjadi saluran untuk menyalurkan perasaan suka duka.

Yang paling penting perantau dapat membezakan antara kehidupan rencam di kota dan suasana kampung sebagai renungan. – 27 April, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen