BAGI mengekang penularan varian Covid-19 XBBB1.16 yang baru muncul atau lebih dikenali sebagai Arcturus, Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula penggunaan pelitup muka di sekolah.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan bertemu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu.
Beliau berkata garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk murid akan dikeluarkan sebelum pembukaan semula sekolah pada 2 Mei.
“Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan COVID-19 di sekolah, terutama selepas adanya varian baharu Arcturus.
“SOP berhubung kawalan Covid-19 itu akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan Covid-19 kembali menular di sekolah,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata kementerian telah mengesan enam kes baharu varian XBB1.16 baharu di Lembah Klang, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes dijangkiti kepada 12 setakat ini.
Katanya empat daripada kes baharu ini dikesan di Selangor, manakala dua lagi kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Enam kes sebelum ini dikesan di Sarawak.
Dr Zaliha berkata orang yang dijangkiti Arcturus, yang juga merupakan subvarian kepada Omicron, didapati hanya mengalami gejala ringan dan mereka dilaporkan stabil.
Beliau berkata walaupun Kementerian Kesihatan akan mencadangkan langkah perlu untuk mengawal sebarang penularan Covid-19 di sekolah, keputusan muktamad terletak pada Kementerian Pendidikan.
“Ibu bapa tidak perlu panik apabila membabitkan penularan varian baharu ini. Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai topeng muka bagi mengekang sebarang penularan jangkitan.
“Sekiranya mereka mengalami simptom jangkitan, mereka perlu memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak sosial seperti yang diamalkan sebelum ini sambil mendapatkan bantuan perubatan,” katanya. – 26 April, 2023.
Komen