Perdana Menteri Najib Razak hari ini dilihat menyindir sinis pengkritik projek daerah kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang mempersoalkan kejayaannya.
“Siapa kata projek ni tak jadi?” soal Najib kepada pemberita semasa melawat galeri TRX City di Kuala Lumpur hari ini.
“Kita tidak tergesa-gesa untuk jual tanah. Kita nak dapat tawaran terbaik.”
Najib berkata, TRX akan menjadi daerah kewangan antarabangsa dan menjadi sebuah pembangunan yang menarik.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah semasa memberikan ucapan pembukaannya turut menyelar pengkritik projek TRX.
“Banyak kritik yang kita dengar, semuanya boleh dihapuskan sekarang.
“Kerana kita tengok bangunan 106 tingkat menara Signature Tower sedang dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi,” katanya sambil tertawa.
Irwan berkata, pelabur awal yang melabur untuk projek TRX lebih untung kerana dapat membeli tanah dengan harga lebih murah.
“Terima kasih kepada pelabur ‘early birds’, pelabur awal seperti Tabung Haji yang mengambil peluang.
“Mereka dulu beli tanah dengan harga RM200 juta sekarang nilainya lebih daripada RM300 juta. Kritik (kritikan) ini tidak berasas,” katanya.
Pada 2015, Lembaga Tabung Haji dikritik hebat kerana membeli tanah seluas 0.63 hektar dengan harga RM188.5 juta.
Pengkritik melihat tindakan Tabung Haji itu seolah melakukan “bail out” terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Tabung Haji menafikan dakwaan itu, mengatakan ianya merupakan satu keputusan komersial.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Azmar Talib di dalam kenyataannya mengatakan 70 peratus plot tanah sudah pun dikomersialkan.
Katanya, TRX terus menerima permintaan daripada pelabur dalam dan luar negara termasuk bank besar dan institusi kewangan dunia. – 5 Jun, 2017.
Komen