Ahli Parlimen minta rakaman CCTV bukti kaunter jamin tidak ditutup awal


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata rakaman CCTV dari kaunter jaminan boleh didedahkan supaya dapat memastikan ia ditutup awal atau sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2023.

PEGAWAI mahkamah mesti mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter jaminan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur untuk menunjukkan kaunter tidak ditutup awal sebelum cuti Hari Raya yang panjang, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Penutupan awal kaunter pada Khamis menyebabkan enam individu terpaksa menghabiskan hujung minggu Hari Raya di penjara.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menangkis dakwaan itu, berkata enam penjamin tidak berada di mahkamah untuk membayar ikat jamin dan bukan kerana pejabat ditutup awal.

“Ini adalah dakwaan serius dan kaunter jaminan tidak seharusnya ditutup awal sesuka hati.

“Dalam perkara ini, adalah lebih baik jika rakaman CCTV dari kaunter jaminan boleh didedahkan supaya kita dapat pastikan sama ada ia ditutup awal atau masih dibuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, enam individu yang menghadapi pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu, dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu yang panjang di penjara kerana tidak dapat membayar ikat jamin selepas kaunter ditutup awal.

Peguam Alvin Tan, yang mewakili lelaki itu, mendakwa pegawai mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang walaupun ada notis menyatakan waktu pejabat adalah sehingga 4.30 petang.

Selain menolak tuntutan itu, pejabat ketua pendaftar juga berkata kesemua suspek dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah.

“Pejabat ini ingin menjelaskan laporan berita yang mendakwa kaunter jaminan ditutup awal adalah tidak benar.

“Dalam kes tersebut, hanya empat penjamin hadir bagi empat tertuduh manakala penjamin bagi baki enam tertuduh lain tidak berada di mahkamah untuk meneruskan prosedur jaminan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ia berkata kehadiran penjamin adalah sebahagian daripada prosedur standard dan mesti diikuti untuk mahkamah mengesahkan identiti mereka dan secara lisan menyampaikan terma dan tanggungjawab sepanjang tempoh jaminan.

“Dalam kes ini, penjamin enam daripada tertuduh tidak hadir sehingga kaunter ditutup pada pukul 4 petang, justeru proses jaminan mereka tidak dapat diselesaikan,” kata pejabat itu. – 25 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen