Di Terengganu, penyokong akar umbi kekal bersama PAS dan Hadi


Radzi Razak

Satu kajian politik ke atas Terengganu menjelang PRU14 menunjukkan PH akan menang dalam pertembungan tiga penjuru sementara PAS dijangka menang hanya dua kerusi negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2018.

PENYOKONG dan ahli akar umbi PAS di Terengganu meletakkan sepenuh keyakinan kepada keputusan politik presiden parti, Abdul Hadi Awang untuk menentukan hala tuju parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-14, walaupun Pakatan Harapan (PH) mengasak hebat hubungan parti itu dengan seteru tradisinya Umno.

Tinjauan The Malaysian Insight di beberapa kawasan di Terengganu mendapati penyokong PAS tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Pakatan, terutamanya parti serpihan Amanah, tentang kerjasama parti Islam itu dengan Umno.

Tuduhan PAS mendapat duit daripada Umno itu bagi mereka hanya “fitnah pihak lawan” yang direka untuk melemahkan parti itu, kata mereka.

“Semua itu bukan betul. Kita dah lama kenal dengan Ayah Chik,” kata Abdul Rahman Mustafa, penyokong PAS yang ditemui di markas parti itu di Kemasik, Kemaman, merujuk kepada panggilan mesra Hadi dalam kalangan pengikutnya.

Katanya, isu kerjasama dengan Umno dan yang terbaru, penyebaran rakaman audio kononnya suara Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengaku mengambil wang daripada Umno semasa pilihan raya negeri Sarawak pada 2016, hanyalah rekaan pengkhianat parti Islam itu.

“Ahli PAS dah biasa dengan cerita begini,” katanya, sambil menyebut pelbagai serangan Umno terhadap PAS sejak berdekad-dekad lalu bahawa PAS mengkafirkan orang Islam yang tidak menyokongnya dan PAS tidak ada pemimpin profesional.

Sentimen Rahman itu dikongsi rata-rata oleh mereka yang mengaku menyokong PAS, dari Kemaman di selatan negeri sampai ke Besut yang bersempadan dengan Kelantan.

Sulaiman Mohd, yang ditemui selepas kuliah mingguan Hadi di Masjid Rusila di Marang,  berkata fitnah sebegitu merupakan sebahagian daripada perjuangan politik kelompok yang mahu menegakkan Islam di Malaysia.

“Ramai yang tak berpuas hati kalau Islam nak naik. Itu sebahagian daripada ranjau dan ujian Allah. Orang hebat dalam PAS lebih banyak diuji daripada kita yang di bawah,” katanya, yang juga pengundi di Marang.

Kebanyakan “fitnah” ke atas PAS itu akhirnya dilupakan begitu saja, tambahnya.

Penyokong dan ahli akar umbi PAS di Terengganu yakin dengan keputusan politik Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menentukan hala tuju parti Islam itu pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2018.

Penyokong Hadi, sama ada ahli PAS rasmi atau tidak seperti biasa tetap berkumpul di Markas Tok Guru, di sebelah Masjid Rusila di Marang setiap pagi Jumaat bagi mendengar kuliah beliau.

Kawasan jalan di hadapan masjid itu menjadi meriah dengan adanya pasar pagi dan penduduk berhampiran turut menjadikannya sebagai acara mingguan untuk bertemu dengan sahabat handai dan merapatkan hubungan sesama jemaah.

Bagaimanapun tinjauan kali ini mendapati walaupun lebih 1,000 hadirin hadir pada kuliah Jumaat lalu, ia tidak semeriah pada 2013, apabila kebiasaannya lebih 5,000 ummah bersama mendengar kuliah ulama terkenal yang mula mengajar di tempat itu sejak 1980 lagi.

Fitnah Amanah

Ada juga dalam kalangan penyokong PAS yang hairan bagaimana pemimpin seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu yang pernah berdepan dengan fitnah semasa jadi ahli parti Islam itu sekarang ini “seronok pula menjaja fitnah”.

“Dulu bila orang jaja rakaman skandal seks dia, pandai pula nak diamkan, tak mengaku. Sekarang dia seronok bagi kepada orang lain pula,” kata Suhaimi Said dari Kuala Terengganu.

Beliau merujuk kepada kontroversi rakaman audio perbualan Mohamad, ketika itu ketua Pemuda PAS dengan seorang wanita yang tersebar sekitar 1994, ketika musuh Umno dalam persaingan merebut undi Melayu hanyalah PAS.

Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, menafikan sekeras-kerasnya rakaman audio tersebut suaranya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai “karut, mengarut dan fitnah” ke atas dirinya dan PAS.

“Ia hanya sampah yang tidak layak dimakan kecuali oleh pelahap fitnah seperti PAN (Amanah) dan sekutunya,” katanya dalam satu komentar di Facebook pada 28 Februari lalu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya, berdoa semoga Allah menimpakan balasan segera ke atas para pelakunya kecuali mereka segera bertaubat kepada-Nya,” kata Nik Abduh.

Sejak kenyataan itu, Nik Abduh tidak membuat sebarang kenyataan media mengenai tuduhan tersebut.

Dua hari selepas kenyataan Nik Abduh, Pengerusi PH Kelantan Husam Musa mengaku beliaulah orangnya yang menyebarkan rakaman audio yang kemudian tular di media sosial itu. Husam turut mencabar wakil rakyat PAS itu mengheretnya ke mahkamah kalau dakwaannya itu tidak benar.

Hadi tanding Marang

Sementara itu, Hadi dijangka akan bertanding di Marang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Redang, yang dianggap kubu kuatnya. Hadi bertanding di kerusi Parlimen itu tanpa gagal sejak 1986 dan hanya dua kali kalah kepada calon BN, Abdul Rahman Bakar pada 1986 dan 2004.

Penyokong PAS membeli barang di kawasan Masjid Rusila di Marang setiap pagi Jumaat ketika Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyampaikan kuliah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2018.

Satu kajian politik ke atas Terengganu menjelang PRU14 menunjukkan PH akan menang dalam pertembungan tiga penjuru sementara PAS dijangka menang hanya dua kerusi negeri.

Kajian oleh Invoke pula mendapati dalam pertembungan tiga penjuru, BN akan menyapu 31 kerusi negeri sementara Pakatan menang satu kerusi dan PAS berputih mata.

PAS yang pernah memerintah negeri itu pada 1999 setakat ini memegang tiga kerusi Parlimen di Kuala Nerus, Marang dan Dungun dan 14 kerusi DUN.

Di tengah kajian yang langsung tidak memihak kepada PAS itu, parti Islam itu sebaliknya yakin akan menggugat BN pada PRU14 ini. Ia malah tidak menganggap PH sebagai saingannya.

“Pihak yang buat analisis boleh kata apa saja. Bagi PAS, kita duduk pada peringkat akar umbi dan sentiasa mengkaji momentum peringkat akar umbi.

“Kita tahu bagaimana kuat sokongan pengundi kepada PAS. Daripada dapatan yang kita peroleh, walaupun kita bakal berdepan pertandingan tiga penjuru bertemu BN dan PH, PAS masih menjadi pilihan penyokong dan pengundi,” kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat.

“PH bukan parti dominan di Terengganu. Yang kita gerun hanya BN kerana merekalah lawan sebenar kita,” katanya. – 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Akar umbi?? Ubi kayu pun meluat tengok perangai si lebai tua Hadi dan PAS ni.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nordin KCD · Ulasan

  • harap rakyat disana memainkan peranan penting dalam memilih parti yang benar2 boleh memikul tanggungjawab dan menggalas tugas dengan amanah, xperlu la mengharapkan pakatan yang hanya hangat2 tahi ayam sebelum pru, jelas dibawah BN banyak manfaat dan pelbagai perubahan yang rakyat terima..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan