PRESIDEN Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William berang dengan tindakan seorang timbalan yang dipecat kerana meminta Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyiasat peletakan jawatannya dan pemecatan anggota majlis tertinggi yang lain.
Timbalan presiden Sai Malaka semalam bertemu dengan media di Sibu mendedahkan William meletak jawatan sebagai presiden dan turut memecat beliau dan tujuh lagi anggota majlis tertinggi sebelum melepaskan jawatan.
Malaka mendakwa dia dan tujuh yang lain tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab.
Beliau berkata mereka hanya dimaklumkan melalui surat bertarikh 18 April dan ditandatangani oleh William bahawa mereka “dipecat” dan menambah setiausaha agung parti Kipli Ayom juga meletak jawatan.
William yang mengesahkan dia mengemukakan peletakan jawatannya pada 20 April menuduh Malaka bukan sahaja melanggar disiplin parti kerana menyuruh siasatan dibuat terhadap peletakan jawatannya “sebelum masanya”, dia juga bertindak melebihi ketua timbalan presiden Moses Ripai yang kini memegang jawatan itu dalam membuat pendedahan tersebut.
“Moses sepatutnya membuat pengumuman pada masa yang dipilihnya,” kata Williams kepada The Malaysian Insight.
William juga berkata dakwaan Malaka bahawa setiausaha agung itu meletak jawatan adalah tidak benar.
Mengenai Malaka dan pemecatan tujuh ahli majlis tertinggi yang lain, William berkata mereka tidak dipecat, tetapi diberhentikan.
Beliau menjelaskan Malaka dan tujuh ahli majlis tertinggi itu Emelia Ambrose (naib presiden), Sawing Kedit (naib presiden), Robert Saweng (ketua pemuda), Susan George (ketua wanita) dan ahli biasa Entusa Iman, Tonny Sepawi dan Ismail Lumut semuanya dilantik oleh beliau dan di bawah perlembagaan parti.
Bagaimanapun apabila presiden meletakkan jawatan, pelantikan mereka juga ditamatkan serta merta.
“Sesiapa yang saya lantik, akan diberhentikan kerja. Itu hak prerogatif presiden. Penamatan dilakukan mengikut perlembagaan.
“Selepas ini adalah hak Ripai, sebagai pemangku presiden untuk melantik sesiapa yang difikirkannya sesuai mengisi jawatan kosong,” kata William.
PBDS mempunyai tiga timbalan presiden - seorang dipilih, dua dilantik. Moses Ripai dipilih manakala Malaka dan Julius Enchana Jasper Ancho dilantik.
William turut mempersoalkan motif Malaka mengheret RoS untuk menyiasat peletakan jawatannya dan pemberhentian ahli majlis tertinggi yang dilantik.
“Saya letak jawatan. Kenapa dia perlu meminta ROS menyiasat saya?
“Boleh tak saya letak jawatan? Adakah salah atau satu jenayah untuk saya meletakkan jawatan?,” soalnya.
William berkata Malaka dan parti sebaliknya perlu bersyukur kerana beliau meletak jawatan untuk memberi peluang kepada orang lain memimpin.
“Saya memberi peluang kepada Dayak lain untuk memimpin,” katanya.
William berkata dia meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan dan keluarganya..
Beliau berkata perkara yang segera terlintas di fikiran sekarang mengenai tindakan Malaka ialah “dia seorang yang terdesak”.
William berkata Malaka mungkin bimbang dengan kedudukannya dalam parti.
“Dia mungkin takut Moses tidak akan melantiknya semula sebagai timbalan presiden.”
PDBS yang diasaskan pada 2013 adalah parti yang dihidupkan semula oleh parti Dayak dengan nama sama yang dibatalkan pendaftarannya kerana pertikaian kepimpinan yang tidak dapat diselesaikan pada 2004. – 25 April, 2023.
Komen