Tidak mudah tawan pengundi di negeri 'jantung' Melayu


Faisal Tehrani

TIDAK syak lagi, strategi politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan memanfaatkan budaya girang raya Melayu untuk menyambut Aidilfitri di tiga negeri yang dikuasai PAS adalah demi pilihan raya negeri (PRN).

Pejabat Anwar mengumumkan, rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu sepanjang Syawal ini.

PRN dijangkakan selepas Hari Raya Haji, sekitar Jun atau awal Julai.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Malawati mengesahkan yang Pakatan Harapan (PH) mensasarkan untuk merampas Kedah daripada tangan PAS sembari merencatkan nafsu Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Menyedari kekuatan PAS di Pantai Timur, PH hanya berniat untuk menjadi pembangkang di Kelantan dan Terengganu.

PRN ini dapat dinilai sebagai satu pungutan suara untuk kerajaan perpaduan yang disertai 19 parti politik iaitu gabungan terbesar dalam sejarah politik negara.

Ia juga merupakan penilaian awal untuk Anwar Ibrahim yang memperkenalkan Madani sebagai tunjang pentadbirannya.

Di sebalik strategi beraya di negeri-negeri PAS tersebut, PH perlu berdepan dengan parti yang kononnya memperjuangkan agama di bawah pimpinan keras Abdul Hadi Awang.

Seperti yang diketahui pendekatan Hadi adalah sangat berbeza dengan pemimpin terdahulu PAS seperti antaranya Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan Fadzil Nor.

Hadi lebih gemar menajamkan sengketa politik dengan analogi yang kadang tidak berasas. Jalan angkuh Hadi dapat dilihat misalnya apabila beliau menolak arahan istana agar tidak memberi ceramah politik di masjid dan surau.

Tindakan ini jelas tidak menghormati saranan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menyarankan agar suhu politik diredakan dan tidak mengeruhkan keadaan politik negara yang memerlukan kestabilan untuk bangkit dari krisis politik dan bahana pandemik Covid-19.

PH mungkin tidak perlu begitu khuatir dengan Bersatu yang melemah ekoran banyaknya dakwaan rasuah dan korupsi yang membayangi mereka.

Antara pemimpin Bersatu yang kini terpalit dengan skandal penyelewengan wang rakyat itu adalah Muhyiddin Yassin, Wan Saiful Wan Jan dan beberapa lagi pimpinan peringkat kecil termasuklah anaknya Hamzah Zainuddin.

Perikatan Nasional (PN) tidak lagi boleh berlagak sebagai parti yang bersih dan stabil memandangkan imej mereka turut tercemar.

Kerajaan Perpaduan sendiri turut tercemar dan dinodai oleh siasatan SPRM terhadap Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Akan tetapi dalam konteks Madani, ia merupakan kelebihan untuk Anwar Ibrahim yang kelihatan tegas membanteras rasuah meskipun mungkin dilakukan oleh anggota kabinetnya sendiri.

Anwar juga dilihat tidak campur tangan dalam urusan SPRM.

Ia juga meletakkan PN dalam keadaan terbawah kerana ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, saiz Kabinet yang besar (justeru ditanggung dana negara) dan sekarang dakwaan korupsi, menunjukkan PN sebenarnya adalah pemain politik yang lebih rakus berbanding PH.

Terlepas daripada kelebihan di atas, cabaran sebenar Anwar bukanlah sangat PAS. Akan tetapi masih ada satu momok yang akan mengganggu niat untuk PH mara di negeri-negeri PAS.

Momok itu ialah Umno dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban untuk kerajaan perpaduan.

Dalam semua tinjauan pendapat yang dikendalikan oleh penganalisis dan saintis politik baik dari ISEAS-Yusuf Ishak, Ilham Centre dan lain-lainnya, Umno dan presidennya masih dianggap penjahanam negara.

Usaha mencipta naratif untuk mengampunkan Najib Razak, bekas perdana menteri yang dihukum penjara kerana penyelewengan malah membuatkan rakyat meluat.

Meskipun pengundi memahami keperluan PH bekerjasama dengan Umno di peringkat persekutuan, ramai pengundi memandang Umno melukut di tepi gantang dan merupakan musuh sebenar negara khusus di negeri-negeri yang dikuasai PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

PH perlu bekerja sekadarnya sahaja dengan Umno di negeri PH ini dan tidak memberi muka kepada parti yang telah rosak dan pernah merosakkan negara.

Anwar mungkin merasakan popularitinya sedang di kemuncak, akan tetapi untuk menawan pengundi di negeri-negeri jantung Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu sama sekali tidak mudah.

Politik di negeri-negeri ini adalah mengenai pemimpin yang cekap memberi kepada rakyat.

Pengundi tidak begitu memikirkan persoalan infrastruktur, pendidikan, sistem kesihatan akan tetapi lebih kepada keberkesanan administrasi agama yang melibatkan urusan haji-umrah, perkahwinan, kematian dan lain-lain hal-ehwal masjid.

Isu nasional seperti korupsi, inflasi dan tatakelola pentadbiran yang baik tidak begitu bermakna buat pengundi di negeri Melayu. Di sesetengah tempat pengundi hanya mahukan pemimpin peringkat DUN yang mudah ditemui.

Di sinilah kelebihan pemimpin PN khususnya PAS yang meskipun tidak berpendidikan tinggi, dan berbahas dengan cara bodoh di Dewan, mereka dianggap rapat dan akrab kerana memadai dengan sering muncul di masjid atau surau, menghadiri majlis nikah kahwin dan menunjukkan muka ketika upacara kematian.

Ini menjelaskan mengapa sesetengah pimpinan PAS menyenaraikan berapa banyak kenduri yang mereka hadir sebagai laporan kad prestasi.

Oleh itu peluang PH di negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu bukan sangat terletak pada kemasyhuran Anwar yang bakal datang beraya di situ. PH memerlukan pemimpin negeri yang rapat dengan masyarakat bawah.

Dalam banyak keadaan, pengundi akan memilih seseorang dalam kalangan mereka sendiri.

Justeru pemimpin yang bertanding dari kerabat besar, atau mereka yang berbakti dan ramai kenalan akan punya kelebihan.

Mereka ini, meskipun mempunyai kekurangan dan kecacatan, akan tetap diundi kerana dianggap efektif semata-mata kerana alasannya ialah mudah ditemui. Strategi berkesan buat PH dan Anwar ialah meletakkan calon yang membumi di kawasan tersebut.

Pun, jika PH meletakkan calon payung terjun atau orang luar, mereka hendaklah menghindarkan diri daripada mengkritik pimpinan atau calon PN secara berlebihan. Memadai dengan memperkenalkan diri, dan meyakinkan pengundi mengapa dan bagaimana mereka berakar dan berhubung di tempat mereka bertanding itu.

Calon payung terjun ini juga perlu dipakejkan sebagai berpelajaran, muda, kacak dan jelita, dan cukup mengetahui hal agama. Kebolehan menjadi imam dan memimpin tahlil adalah bonus.

Ketiga, memandangkan pengundi tempatan di negeri-negeri tersebut tidak begitu memikirkan isu kos sara hidup yang tinggi seperti pengundi di bandar, pening akibat inflasi dan gelojoh reformasi, PH mestilah sedar yang isu-isu lokal yang kelihatan trivia seperti kenaikan harga racun, kos harga simen, kesukaran mendapatkan peniaga untuk getah, dan padi malah hal kecil seperti wakaf tanah perkuburan adalah isu-isu yang mesti dipandang. Ia tidak boleh dianggap remeh sama sekali.

Akhir sekali, calon PH tidak boleh mengguna pakai pendekatan rumah terbuka raya semata-mata untuk menawan pengundi Melayu di negeri jantung Melayu. Pendekatan raya atau besar-besaran juga mungkin tidak berkesan. Malah tidak mengejutkan jika rumah terbuka di negeri-negeri tersebut kelak tidak mendapat sambutan dan dianggap pembaziran.

Pendekatan kempen sebenar di negeri-negeri ini ialah majlis raya kecil-kecilan yang membolehkan calon atau pemimpin PH untuk berhubung dengan pengundi secara dua hala.

Kenduri atau rumah terbuka runcit ini lebih mengakar.

Bayangkan Anwar muncul di kenduri kecil seorang pak cik, kisah ini akan merebak ke seluruh pelosok daerah dan pos pengundian.

Dalam beberapa keadaan, pengundi lebih suka dengan calon atau pemimpin yang boleh dibawa bertepuk tampar atau dimaki secara berhadapan.

Malah dalam sesetengah keadaan, calon yang tebal muka untuk dihamun akan lebih berpeluang untuk menang kerana dianggap merakyat, kenal susah senang dan boleh didekati.

Ini pernah disebut oleh Ketua Pemuda PH Dr Kelvin Yii di Konvensyen PRU PH Ipoh, Perak, pada 20 Oktober 2022 lalu. Beliau menjelaskan pengundi muda tempatan meraikan mereka yang dapat membawakan pendekatan dua hala berbanding kaedah ceramah, atau kempen raya (raya juga bermakna besar). – 25 April, 2023.
 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen