Kes Covid-19 menurun 6.4% minggu lalu, kata menteri kesihatan


Noel Achariam

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sehingga kini, 70.97% (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes dikategorikan sebagai VOC dan VOI bagi varian Omicron dan sub-variannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2023.

KES baharu Covid-19 yang dilaporkan minggu lepas (Minggu Epidemiologi 16/2023) menurun sebanyak 6.4% (5,149 kes kepada 4,817 kes) berbanding jumlah kes yang dilaporkan minggu sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sehingga kini, 70.97% (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) bagi varian Omicron dan sub-variannya.

“Varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang tersebar.

“Sejenis subvarian yang tergolong dalam keluarga varian Omicron ialah Arcturus.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan subvarian ini sebagai VOI sejak 17 April,” kata Zaliha dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus WHO menilai Arcturus sebagai subvarian yang memerlukan perhatian.

“Tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan. Sehingga 2 April 2023, subvarian ini dikesan di sekurang-kurangnya 31 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Di Malaysia, sebanyak 12 kes subvarian (Arcturus) dilaporkan dan kesemuanya adalah ringan dan stabil.”

Zaliha berkata pecahan kes ialah enam di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Kuala Lumpur.

“Penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian adalah lebih rendah berbanding varian atau subvarian lain yang dilaporkan sebelum ini.

“Walaupun Malaysia mengenal pasti varian itu sejak Mac 2023, jangkitan masih terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.”

Beliau berkata mereka yang mempunyai simptom perlu terus mengikut prosedur KKM.

“Jika positif, asingkan diri segera untuk tempoh yang ditetapkan. Mereka yang berisiko tinggi seperti kumpulan berisiko, warga emas, dan kanak-kanak digalakkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak dan sempit.

“Individu yang belum menerima dos utama vaksin dan dos penggalak dinasihatkan supaya segera mendaftarkan diri untuk vaksinasi bagi mengekalkan status imuniti mereka dan mencegah jangkitan, termasuk varian baharu,” tambah Zaliha. – 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen