Pakar desak klinik dalam penjara diwujudkan kembali untuk kurangkan risiko jangkitan penyakit


Melati A. Jalil

PAKAR kesihatan meminta penilaian semula kepada sistem penjagaan kesihatan penjara negara ini, termasuklah mewujudkan semula sistem perubatan dalam penjara untuk tahanan bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit-termasuk HIV- antara penjara dan komuniti luar.

Profesor Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman berkata mempunyai klinik yang lengkap dalam kawasan penjara akan mengurangkan kes kematian pesakit, selain dapat mengawal kemungkinan jangkitan penyakit berjangkit dari penjara kepada komuniti luar penjara.

Dia memberikan contoh kewujudan klinik di Penjara Kajang yang menyebabkan penurunan mendadak kematian berkaitan HIV dalam kalangan penghuninya, daripada 19 kematian berkaitan HIV pada 2011 kepada dua kematian pada 2014, hanya dua tahun selepas klinik itu diwujudkan.

Dia menyalahkan penghapusan pusat rawatan dalam penjara kepada potongan bajet, berkata yang program seperti klinik pakar HIV dalam penjara dimansuhkan pada 2015.

Dr Adeeba, yang merupakan dekan Fakulti Perubatan UM, berkata doktor kerajaan yang dihantar berkhidmat di penjara untuk masa yang singkat juga kekurangan latihan kepakaran dalam bidang kesihatan mental, penyakit berjangkit dan ketagihan.

Katanya lagi, selain daripada HIV, batuk kering (TB) juga menjadi masalah besar di penjara Malaysia, kerana sistem pengudaraan yang teruk, penghuni yang terlalu ramai dan amalan saringan perubatan yang lemah menyebabkan penyakit jangkitan udara itu mudah merebak.

Kajian yang dilakukan di Penjara Kajang baru-baru ini mendapati yang daripada 559 tahanan yang terlibat dalam kajian, 64.7% mereka dibebaskan sebelum habis menyempurnakan rawatan penyakit TB dalam penjara.

Dr Adeena berkata ketiadaan saringan rutin dan kemudahan kesihatan yang kurang di penjara menyebabkan kelewatan pengesanan dan rawatan, yang menyebabkan tahanan dibebaskan sebelum mereka dirawat.

“Ini mewujudkan peluang kepada bakteria jangkitan udara ini untuk merebak (kepada masyarakat luar).”

Dr Adeeba juga berkata yang jumlah tahanan di penjara negara ini perlu dikurangkan, kerana 40% hingga 60% tahanan dipenjarakan kerana kesalahan kecil penggunaan dadah.

“Mereka sepatutnya dirawat dalam komuniti; mereka sepatutnya bekerja. Dengan meletakkan mereka dalam penjara, kita sebenarnya membebankan sistem kesihatan dan penjara kita. Mereka keluar masuk, mereka dijangkiti dalam penjara, ia tindakan yang sia-sia,” katanya lagi.

“Ia tidak berkesan (daripada segi kos), ia mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Kecualilah jika mereka lakukan jenayah (besar), bila itu berlaku, penjarakanlah mereka,” katanya. – 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen