SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat diteruskan hari ini dengan Syed Amri dipanggil memberi keterangan.
Syed yang dipanggil untuk siasatan itu dikatakan menyaksikan penculikan Amri.
Beliau memberitahu rakan Amri yang Toyota Fortuner milik aktivis itu dihentikan oleh tiga kenderaan pacuan empat roda dan dua buah kereta.
Semalam, panel mendengar keterangan isteri Amri, Norhayati Arrifin, abangnya Norhafizal Arrifin dan kawan Amri, Anuar Ismail.
Ketika soal siasat, K. Muthiah salah seorang peguam mewakili keluarga Amri bertanyakan Norhayati jika suaminya melakukan nikah mutaah, seperti didakwa Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin Januari lepas.
Norhayati menafikan dakwaan itu.
Pada 22 Januari, Norhayati yang merupakan saksi pertama dipanggil memberi keterangan mencetuskan kekecohan apabila mengatakan beliau mengesyaki Asri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab atas kehilangan suaminya.
Muthiah menyoal Anuar tentang pihak manakah yang beliau syaki bertanggungjawab menculik aktivis itu.
Anuar mengatakan beliau percaya sesiapa yang menculik Amri mempunyai hubungan yang baik, wang dan tidak takut untuk melakukan penculikan itu.
Amri diculik pada jarak 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudiannya menemui keretanya di Bukit Chabang. Beliau dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya yang beliau akan keluar malam itu. Amri mempunyai empat anak perempuan berusia antara 10 dan 19 tahun.
Aktivis berusia 43 tahun itu adalah ahli pasukan mendaki Gunung Everest Malaysa pada 1997.
Dalam laporan polis dibuat Norhayati, beliau memberitahu ada kenderaan tidak dikenali diparkir berhampiran rumahnya pada hari aktivis itu hilang.
Panel siasatan dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Nik Saleh.
Matlamat siasatan adalah untuk menentukan sama ada penculikan Amri, Pastor Raymond Koh dan dua lagi aktivis- Joshua dan Ruth Hilmy- pada 2016 adakah kes kehilangan paksa dilakukan pihak berkuasa negara ini.
The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:
11.45am: Pesuruhjaya Mah kemudian bertanyakan kepada pemerhati polis dan Badan Peguam sama ada mereka mempunyai soalan kepada saksi.
Kedua-dua pihak mengatakan mereka tidak mempunyai soalan kepada Syed.
Mah kemudian meluahkan perasan terkejutnya kerana pemerhati tidak mempunyai soalan kepada Syed.
“Memandangkan dia (Syed) adalah saksi mata penting kes, (jika) tiada soalan bolehlah dikatakan semua yang diucap saksi diterima (oleh kedua-dua pemerhati).”
Sesi pendengaran siasatan ditangguhkan hari ini dan akan disambung esok.
11.30am: Bagi menggambarkan jarak antara lampu isyarat dan kedudukan Syed, peguam Jay memainkan rakaman video kawasan itu.
Beliau kemudian meminta Syed mengesahkan sama ada rakaman itu adalah lokasi kejadian. Syed mengesahkannnya.
11.00am: Jay kemudian bertanyakan tentang topi keledar dipakai Syed bagi menentukan sama ada beliau mempunyai pemandangan yang baik ketika kejadian.
Syed mengatakan beliau memakai topi keledar jenis separuh.
Pesuruhjaya Mah bertanyakan Syed berapa kali beliau berjumpa polis.
Syed mengatakan beliau berjumpa polis seminggu selepas kejadian itu pada 2016 dan sekali lagi pada Januari tahun ini.
“Keterangan saya dicatat polis.”
Jay kemudian bertanya sama ada wujud komunikasi lain dengan polis antara November 2016 sehingga Januari 2018.
Syed menjawab tidak wujud.
Sesi pendengaran keterangan berehat seketika.

10.30am: Pesuruhjaya Mah meminta Syed menjelaskan tentang lelaki sasa yang dilihatnya pada kejadian itu.
Syed mengatakan beliau melihat lelaki berbadan sasa itu berjalan ke arah kenderaan pacuan empat roda dan membuka pintu penumpang.
“Dia memakai t-shirt berkolar dan seluar jean. Selepas itu saya tak nampak apa-apa dan bergerak pergi.”
Jay kemudiannya bertanya kepada Syed tentang dua lagi kenderaan pacuan empat roda yang berada di tempat kejadian dan sama ada sesiapa keluar daripada kenderaan itu.
Syed mengatakan tiada sesiapa yang keluar dan hanya melihat seorang individu iaitu lelaki berbadan sasa itu.
10.25am: Merujuk kepada lakaran itu, peguam keluarga Amri, Jay Moi bertanya tentang lokasi kedai tayar itu dan sama ada cahaya lampu yang ada cukup untuk Syed melihat kejadian.
Syed menjawab cahaya lampu ketika itu mencukupi dan kenderaan terlibat jelas kelihatan kerana tiada halangan antara mereka.
“Saya menunggang di sebelah kiri jalan apabila kejadian berlaku di kanan saya.”
Jay kemudian bertanyakan tentang warna dan jenis kenderaan yang dilihat Syed.
Syed mengatakan ia kenderaan pacuan empat roda tetapi tidak perasan tentang warnanya.
Beliau juga memberitahu peguam yang kejadian itu berlaku kurang daripada seminit.
10.10am: Bagi mendapatkan gambaran kejadian, panel meminta Syed melukis lokasi kejadian serta kedudukan kereta yang dilihatnya.
Syed kemudiannya melukis lokasi itu dan menjelaskan di mana beliau berada.
Katanya, beliau berada lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian di arah bertentangan.
“Lampu jalan tiada tetapi ada lampu memasak dari kedai tayar di seberang jalan.
“Jadi saya boleh nampak apa yang berlaku. Ada juga sebuah motosikal lain dan beberapa kenderaan yang berhenti sebelum kejadian itu.”
Pesuruhjaya Mah kemudian bertanya apa yang menyebabkan Syed tertarik kepada kejadian itu.
Syed menjawab beliau ingat ada kemalangan yang berlaku.
9.50am: Syed kemudian menjelaskan kepada panel yang selepas menyaksikan kejadian itu, beliau pulang ke rumah dan memberitahu ayahnya.
Pengawai Suhakam kemudian bertanya sama ada beliau ada mendengar tentang kehilangan Amri.
Syed menjawab, keesokan harinya di restoran miliknya, seorang penghantar gas memberitahunya tentang kehilangan Amri.
“Saya kemudian beritahu penghantar gas itu tentang kejadian malam sebelum itu dan kami percaya ia ada kaitan dengan kehilangan Amri.
“Pada hari sama, dua pegawai polis datang berjumpa saya untuk bertanyakan kejadian itu.
“Saya kemudian dipanggil ke IPD Kangar untuk memberi keterangan kepada Inspektor Khor.”
9.35am: Siasatan kehilangan Amri disambung dengan Syed, saksi yang mendakwa melihat penculikan dipanggil memberi keterangan.
Pegawai Suhakam bertanyakan Syed tentang malam Amri dilaporkan hilang.
Syed memberitahu beliau baru pulang dari gym pada jam 12.30 tengah malam dan berhenti di lampu isyarat di Padang Bohor apabila menyaksikan kejadian itu.
“Saya sedang menunggang motosikal apabila saya lihat kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta.
“Mereka mengepung kereta Toyota Fortuner (milik Amri) dan seorang lelaki sasa dan tinggi keluar daripada kereta d depan dan buka pintu kereta Toyota itu.
“Saya kemudiannya bergerak pergi. Saya tak nampak sesiapa.” – 20 Mac, 2018.
Komen