Warga Johor digalak pakai pelitup muka, jaga kebersihan


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan tidak memperkenalkan SOP Covid-19 untuk Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

RAKYAT Johor, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan, digalakkan untuk terus menggunakan pelitup muka dan menjaga kebersihan untuk melindungi diri mereka daripada Covid-19 semasa musim perayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Menurut The Star, beliau berkata walaupun situasi Covid-19 di Johor terkawal, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga apabila menghadiri rumah terbuka.

“Mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi perlu memakai topeng muka, terutama ketika menghadiri rumah terbuka semasa Hari Raya yang mungkin ramai orang. Mereka juga harus menjaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Ling berkata, dalam tempoh dua minggu lalu, sebanyak 289 kes dilaporkan di Johor termasuk 13 kes pada Sabtu.

Ling juga berkata, kadar pengambilan dos vaksin penggalak kedua Covid-19 di Johor meningkat kepada 3.2% daripada 1.9% sebelumnya.

“Kami menggalakkan kumpulan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai penyakit kronik atau masalah kesihatan untuk mengambil penggalak kedua.

“Mereka biasanya membuat pemeriksaan berkala atau mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan. Apabila berada di sana, kami akan menggalakkan mereka untuk mengambilnya,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan tidak memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata walaupun jumlah kes Covid-19 meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tidak ada sebab untuk panik.

“Pakai pelitup muka, terutamanya apabila mereka menunjukkan gejala. Dapatkan rawatan perubatan dengan segera dan teruskan melakukan ujian kendiri untuk memantau diri anda,” kata Dr Zaliha.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia untuk membuat ujian kendiri Covid-19 sebelum berkunjung ke kampung halaman mereka pada Raya kali ini.

Badan pemantau kesihatan mengesyorkan membawa sanitizer dan pelitup muka pada hari raya bagi mengelakkan Covid-19 merebak kepada warga emas. – 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen