MENTERI Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said melahirkan rasa kecewanya terhadap penutupan awal kaunter ikat jamin di mahkamah Kuala Lumpur, yang menyebabkan enam tertuduh menghabiskan hujung minggu di penjara.
Azalina berkata beliau mengarahkan bahagian hal ehwal undang-undang di bawah kementeriannya untuk menyiasat perkara itu.
“Hak untuk diikat jamin adalah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang kerajaan hormati tanpa pertikaian. Sebarang tindakan, termasuk masalah pentadbiran, yang mengganggu hak ini dianggap melanggar prinsip kardinal ini.
“Sekiranya dakwaan yang dibuat oleh peguam tertuduh adalah benar, ini sudah tentu perlu dikaji semula dan diperbetulkan bagi memastikan kesilapan pentadbiran seperti ini tidak berulang,” katanya dipetik portal berita Free Malaysia Today.
Pada Khamis enam rakyat Malaysia, yang menghadapi pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu, dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu yang panjang di penjara selepas mereka tidak dapat membayar ikat jamin kerana penutupan awal kaunter ikat jamin.
Enam daripada mereka - Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen dan Wong Wai Hong - akan menghabiskan empat hari berikutnya di penjara Sungai Buloh.
Empat lagi - Law Si Kai, Tan Jia Jing, Ching Chung Haw dan Xu Shao Rong, yang didakwa bersama enam lelaki itu - berjaya membayar ikat jamin mereka tepat pada masanya.
Peguam Alvin Tan, yang mewakili mereka mendakwa pegawai mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada jam 2.53 petang. Terdapat notis yang menyatakan waktu pejabat adalah sehingga jam 4.30 petang.
Alvin memberitahu portal berita itu, keluarga tertuduh merayu kepada kakitangan kaunter tetapi tidak berjaya.
“Kakitangan kaunter berkata ia ditutup mengikut arahan daripada pengurusan mahkamah Kuala Lumpur,” katanya dipetik sebagai berkata.
Jelasnya, dua daripada tertuduh, yang dinafikan ikat jamin tidak sihat.
Sepuluh lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu apabila mereka dihadapkan di hadapan majistret Wong Chai Sia petang semalam, yang membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 setiap seorang.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin juga berkata adalah tidak boleh diterima bagi kaunter pendaftaran yang memproses ikat jamin ditutup lebih awal daripada biasa. – 22 April, 2023.
Komen