Luqman Long sah letak jawatan pegawai khas Hannah Yeoh


Ravin Palanisamy

Ketua Penerangan Muda Luqman Long sah meletak jawatan pegawai khas Hannah Yeoh pada minggu pertama bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

LUQMAN Long, ketua penerangan parti Muda mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai pengawai tugas-tugas khas (strategi) Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam tuit malam tadi, Luqman berkata beliau sudah menyerahkan surat perletakan jawatan pada minggu pertama bulan April.

“Saya dah maklum untuk berhenti sejak minggu pertama bulan April 2023 lagi. Notis sebulan, pejabat pun dah tahu lama,” tulisnya di Twitter.

Luqman mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas mengkritik rancangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di negeri pentadbiran PAS- Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Anwar juga akan menghadiri rumah terbuka di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dianjurkan kerajaan negeri.

Kesemua negeri ini akan mengadakan Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

“Bayangkan reaksi jika (bekas perdana menteri) Ismail Sabri (Yaakob) menganjurkan sambutan Hari Raya di enam, tujuh negeri,” tulis Luqman di Twitter.

Dalam tuit sama mengesahkan perletakan jawatannya, Luqman berkata keputusan itu tidak ada kaitan dengan tuit kontroversinya sebelum ini.

“Huru hara semua bila saya tegur pasal rumah terbuka. Cuba bertenang makan kuih raya tu haha,” tulisnya, membalas dakwaan yang beliau berhenti selepas kritikan terhadap Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Sebelum ini, seorang pembantu Yeoh mengesahkan Luqman meletakkan jawatan.

“Dia tidak maklumkan sebab dia meletak jawatan,” katanya dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Difahamkan Luqman dilantik ke jawatannya pada Disember selepas Yeoh dilantik sebagai menteri. – 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen