PETALING Jaya di Selangor menjadi satu-satunya daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) tidak sihat ketika Malaysia meraikan Aidilfitri, hari ini.
Berdasarkan pemeriksaan di Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara, bacaan API kawasan itu direkodkan sebanyak 109 setakat jam 10 pagi tadi.
Bacaan API di Petaling Jaya mula merekodkan peningkatan bermula 7 pagi tadi, apabila mencecah 108 API.
Hanya Tanjung Malim di Perak, Sandakan di Sabah, Kapit dan Sarikei di Sarawak merekodkan bacaan API baik setakat 10 pagi tadi.
Bacaan API antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai merbahaya.
Kawasan lain di seluruh negara merekodkan bacaan API sederhana.
Semalam, hanya Seremban di Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu (Terengganu) merekodkan bacaan API tidak sihat, tetapi ia menjadi stabil malam tadi.
API di Kuala Terengganu naik pada jam 5 petang semalam dan kekal tidak sihat sehingga jam 1 pagi tadi.
Minggu lepas, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Semenanjung sedang mengalami cuaca panas dan berjerebu.
Katanya, kebakaran tanah dan pembakaran terbuka menjadi punca jerebu di negara ini. – 22 April, 2023.
Komen