SYARIKAT farmaseutikal tempatan Pharmaniaga Bhd menyangkal dakwaan ia mempunyai “cengkaman dominan dan pengaruh besar” ke atas sistem penjagaan kesihatan di negara ini, sambil menambah dakwaan sedemikian “tidak berasas.”
Pharmaniaga berkata kerajaan tidak semata-mata bergantung kepadanya, selain menambah semua langkah diambil untuk memastikan rantaian bekalan yang pelbagai bagi mengelakkan terlalu bergantung kepada satu syarikat.
“Bertentangan dengan dakwaan, Kementerian Kesihatan membelanjakan kira-kira hanya 35% daripada perbelanjaan farmaseutikalnya melalui Pharmaniaga, dengan peranan kumpulan terhad untuk menguruskan logistik dan pengedaran produk, serta memegang stok simpanan ubat berjumlah RM400 juta setakat 31 Disember 2022.
“Pemilihan pembekal, produk dan harga ditentukan oleh KKM selepas memuktamadkan pelaksanaan tender terbuka,” kata Pharmaniaga dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Pharmaniaga dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kesihatan dan Sosial Galen, Azrul Khalib mengkritik pembaharuan perjanjian konsesi syarikat oleh KKM.
Azrul dilaporkan berkata konsesi eksklusif yang diberikan kepada syarikat seperti Pharmaniaga mewujudkan “pergantungan berlebihan yang tidak sihat” kepada mereka.
Mengenai kenyataan Azrul lanjutan itu tidak menggalakkan pembabitan syarikat farmaseutikal lain, Pharmaniaga berkata ia satu “hujah yang salah.”
“(Ini) kerana pembekalan produk senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) adalah sistem berasaskan tender kompetitif yang membolehkan mana-mana pembekal yang layak menyertai dan memenangi tender. Semua tender yang menang diputuskan oleh KKM.
“Konsesi yang diberikan kepada Pharmaniaga hanyalah untuk logistik dan pengedaran produk APPL,” kata mereka.
Pharmaniaga berkata setakat ini terdapat 729 produk APPL, dibekalkan oleh 96 syarikat yang dipilih melalui tender terbuka.
Pada Selasa, menteri kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Pharmaniaga diberi perjanjian bersyarat untuk meneruskan penyediaan bekalan perubatan kepada kerajaan selama 10 tahun lagi.
Pharmaniaga berkata ia dipilih untuk konsesi itu berdasarkan rekod prestasinya yang berjaya dalam memenuhi KPI ketat KKM, mencapai lebih daripada 98% markah secara konsisten. – 21 April, 2023.
Komen