
SIDANG Dewan Negara yang asalnya dijadualkan berakhir bulan depan telah dipercepat dan akan tamat pada 5 April ini, serentak dengan tarikh akhir persidangan Dewan Rakyat.
Ini menimbulkan tanda tanya besar kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan sama ada pada April ataupun Mei.
Menurut sebuah surat ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Negara, Riduan Rahmat, persidangan yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 30 April depan akan dimulakan pada 26 Mac hingga 5 April.
Pindaan tarikh ini juga mencetuskan spekulasi Parlimen akan dibubarkan paling awal pada 6 April, sehari selepas sidang pertama penggal keenam Parlimen tamat.
Sebelum ini dilaporkan Barisan Nasional akan mengumumkan manifestonya pada 7 April dalam satu majlis besar-besaran di Stadium Putra Bukit Jalil.
Dalam pada itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka akan dibawa ke Parlimen pada bila-bila masa hanya memerlukan kelulusan Dewan Rakyat sahaja sebelum dikemuka dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Hari ini, rang undang-undang tambahan bajet telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat yang memohon tambahan dana berjumlah RM7.12 bilion.
Rang hanya memerlukan kelulusan Dewan Negara sahaja.
Selain itu, rancangan Putrajaya untuk memperkenalkan rang undang-undang Berita Palsu memerlukan kelulusan kedua-dua Dewan.
Sebelum ini, The Star Online dalam analisisnya melaporkan Parlimen mungkin dibubarkan antara 28 Mac dan 31 Mac, bergantung pada bila persempadanan kawasan pilihan raya baharu akan diguna pakai.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pilihan raya dalam temph 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. – 19 Mac, 2018.
Komen