Volkswagen labur AS$1.1 bilion bina pusat baharu di China


Volkswagen akan menubuhkan pusat pembangunan, inovasi dan pemerolehan baharu di China. – Gambar EPA, 20 April 2023.

VOLKSWAGEN akan melabur kira-kira 1 bilion euro (kira-kira AS$1.1 bilion) untuk menubuhkan pusat pembangunan, inovasi dan pemerolehan baharu di China, menurut Kumpulan Volkswagen pada Selasa di pameran Auto Shanghai 2023 yang sedang berlangsung.

Pusat baharu itu yang dikenali sebagai projek 100 per cent TechCo, akan dibina di Hefei, ibu kota Wilayah Anhui di timur China, lapor Xinhua.

Ia akan menggabungkan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan dan komponen dengan memanfaatkan sinergi pembelian dalam proses pembangunan dan mengintegrasikan teknologi tempatan terkini ke dalam pembangunan produk pada peringkat awal, kata syarikat itu.

Pusat itu dijangka dilancarkan pada awal 2024 dan akan mengaji lebih 2,000 pekerja, daripada pemerolehan sehingga R&D. Ia dijangka memendekkan masa pembangunan produk dan teknologi baharu secara beransur-ansur sehingga 30%.

“Dengan menggabungkan kapasiti pembangunan dan pemerolehan secara konsisten serta mengintegrasikan pembekal tempatan pada peringkat awal, kami akan mempercepat kadar pembangunan dengan ketara selain mengukuhkan kecekapan kerjasama dalam usaha sama kami dan meningkatkan keuntungan,” kata Ralf Brandstaetter, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Volkswagen Group China.

Penubuhan 100 per cent TechCo merupakan langkah penting dalam strategi “Di China untuk China” syarikat, menurut Brandstaetter.

Berpangkalan di Hefei, Volkswagen Anhui ialah usaha sama pertama Kumpulan Volkswagen di China yang menumpukan pada R&D dan pembuatan kenderaan tenaga baharu. – Bernama, 20 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen