MAJLIS Peguam Malaysia meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan status siasatannya mengenai dakwaan rasuah terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Presidennya Karen Cheah berkata, adalah “pelik” bagi SPRM untuk tidak mengeluarkan sebarang penemuan berhubung dakwaan rasuah terhadap Nazlan, sebaliknya mendapati hakim mahkamah rayuan itu melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan berhubung kes SRC International.
“Sudah lebih setahun Nazlan dikatakan disiasat kerana rasuah. Mengapa ia dibiarkan tanpa sebarang penjelasan?” tanya Cheah selepas mengadakan forum awam bertajuk “SPRM, bekas perdana menteri dan kebebasan badan kehakiman.”
“Sekiranya laporan SPRM tidak menemui apa-apa berkaitan rasuah maka mereka sepatutnya berkata kita (SPRM) tidak menemui bukti rasuah dan dengan itu isu rasuah tidak timbul.
“Sekurang-kurangnya mereka perlu berlaku adil. Mereka tidak boleh mengatakan satu perkara dan tidak bagi perkara lain.
“Bolehkah anda bayangkan apa perasaan Nazlan nanti?” tambahnya.
Nazlan mempengerusikan perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Pada 28 Julai 2020, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas semua tujuh pertuduhan rasuah.
Nazlan, sebelum berkhidmat sebagai pegawai kehakiman, pernah menjadi peguam am Maybank, yang mana peguam Najib pertikaikan akan mendedahkan hakim kepada pengetahuan berkaitan SRC International sekali gus menimbulkan konflik kepentingan.
Tahun lalu, SPRM memulakan siasatan ke atas Nazlan berikutan dakwaan yang disiarkan di blog Malaysia Today milik penulis blog Raja Petra Kamarudin yang berpangkalan di Manchester bahawa hakim menerima RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya daripada ahli perniagaan buruan dan dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho – lebih dikenali sebagai Jho Low.
Dengan SPRM sudah menyelesaikan siasatannya, Cheah berkata agensi antirasuah itu sepatutnya dapat mengesahkan perkara itu.
“Pada mulanya, terdapat dakwaan rasuah terhadap Nazlan dan kini SPRM sudah melengkapkan siasatan, mereka mesti berada dalam kedudukan untuk mengesahkan sama ada terdapat unsur rasuah atau tidak,” kata Cheah.
“Tetapi mereka tidak melakukannya. Mereka sudah mengumumkan bahawa Nazlan disiasat kerana rasuah.
“Sudah tentu mereka perlu menyatakan kepada orang ramai jika mereka tidak menemui sebarang unsur rasuah,” tambahnya.
Cheah berpendapat Nazlan diheret dalam isu itu secara tidak sepatutnya.
Beliau berkata, malah Najib sudah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Nazlan di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.
“Di Mahkamah Persekutuan Ogos lalu, peguam Najib Zaid Ibrahim sebenarnya menarik balik isu rasuah (terhadap Nazlan).
“Beliau berkata mereka akan meneruskannya hanya dengan isu konflik,” katanya.
Cheah menegaskan isu konflik dan Kod Etika Hakim 2009 jelas bukan urusan SPRM.
Cheah juga berkata sekiranya terdapat sebarang isu melanggar Kod Etika Hakim, terpulang kepada Ketua Hakim Negara untuk meneliti perkara itu.
“Jika ia bukan soal rasuah, ia berkaitan kanun keseksaan, maka polis perlu menyiasat.
“Tetapi jika ia perkara mengenai isu Kod Etika, sesuatu yang harus didisiplinkan, maka itu adalah bidang kuasa ketua hakim negara di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim.
“Terpulang kepada beliau untuk memutuskan sama ada perlu ada jawatankuasa ditubuhkan atau tidak untuk meneliti perkara itu,” tambah Cheah. – 19 April, 2023.
Komen