PKR yakin jawatan menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan akan kekal miliknya selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata seorang pemimpin peringkat tertinggi parti.
Sumber itu berkata, parti tidak akan berkompromi dalam pendirian berhubung perkara ini, terutama di dua negeri yang diterajuinya ketika ini dan dijangka kekal pada PRN.
“Tidak kira hubungan kerja dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan, dan kini di peringkat negeri, jawatan MB kedua-dua negeri ini akan diterajui oleh mereka daripada PKR,” kata sumber itu yang enggan dikenali memberitahu The Malaysian Insight.
Pakatan Harapan (PH) menguasai Selangor selama 15 tahun sekarang, manakala gabungan itu menawan kubu kuat BN Negeri Sembilan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
PRN dijangka diadakan seawal Jun, dengan kesemua enam negeri bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing.
Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PH dan BN bekerjasama di Perak dan Pahang untuk membentuk kerajaan negeri. Kedua-dua negeri itu diterajui oleh Adun daripada BN.
Baru-baru ini, Melaka turut menyaksikan perubahan kepimpinan dengan menyaksikan ia menggunakan pendekatan kerajaan perpaduan dengan melantik seorang Adun PH sebagai exco dan dua sebagai timbalan exco.
Sementara itu, sumber juga berkata kemungkinan besar Amirudin Shari dan Aminuddin Harun dikekalkan sebagai menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, jika berjaya mempertahankan kerusi DUN mereka dan mendapat majoriti.
“Ada beberapa pihak melobi agar nama mereka dimasukkan untuk menjadi menteri besar bagi negeri-negeri ini.
“Mereka menunjukkan minat. Apabila senarai calon keluar, kemungkinan besar kita tahu.
“Tetapi, Amirudin dan Aminuddin berkemungkinan besar akan dikekalkan jika mereka berjaya (memenangi kerusi). Mereka mempunyai rekod prestasi yang baik di negeri masing-masing walaupun baru satu penggal,” kata sumber itu.
Sumber itu juga mendakwa Amirudin dan Aminuddin mendapat sokongan yang baik di lapangan dan kemahiran kepimpinan mereka dihargai oleh rakyat negeri itu.
Namun begitu, sumber itu berkata keputusan muktamad akan dibuat oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
Amirudin sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menerajui negeri itu untuk penggal kedua.
Amirudin dan Aminuddin kini adalah anggota Parlimen sekarang.
Amirudin, yang membuat penampilan sulung dalam politik peringkat persekutuan, menewaskan bekas sekutu dan mentor politik Mohamed Azmin Ali di Gombak semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Aminuddin, yang juga bertanding kerusi Parlimen buat kali pertama semasa PRU15, memenangi kawasan Port Dickson, yang sebelum ini disandang Perdana Menteri Anwar sekarang.
Kedua-duanya tidak diberi sebarang tugas menteri. – 20 April, 2023.
Komen