MUHYIDDIN Yassin memfailkan permohonan untuk mengetepikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Peguam bekas perdana menteri Chetan Jethwani mengesahkan kepada portal berita Malaysiakini yang permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata salinan permohonan diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Permohonan itu juga untuk menangguhkan kes jenayah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, sementara menunggu keputusan itu.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung program Jana Wibawa bagi mendapatkan RM232.5 juta untuk parti politiknya, Bersatu.
Presiden Bersatu itu juga didakwa dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Pemimpin politik berusia 75 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau adalah bekas perdana menteri kedua yang didakwa selepas Najib Razak, yang didakwa dan disabitkan dengan kesalahan serupa sebelum ini. – 19 April, 2023.
Komen