ENAM kawasan di negara ini, Kuala Lumpur, Jeli (Kelantan), Jempol (Negeri Sembilan), Betong, Sibu dan Marudi di Sarawak, mengalami gelombang panas, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ia meletakkan enam kawasan itu di bawah amaran gelombang haba Tahap 1 pada 4.15 petang semalam.
Gelombang haba Tahap 1 bermaksud kawasan tersebut mencatatkan suhu antara 35C hingga 37C selama tiga hari berturut-turut.
Jika suhu selama tiga hari berturut-turut direkodkan antara 37C hingga 40C, kawasan itu akan diklasifikasikan berada di bawah gelombang haba Tahap 2, dan jika suhu melebihi 40C untuk bilangan hari yang sama, maka ia berada di bawah kategori gelombang haba melampau Tahap 3.
Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas berkata jawatankuasa pengurusan bencana negeri akan bermesyuarat tidak lama lagi apabila negeri itu bersedia menghadapi cuaca panas dan kering.
Menangani jerebu adalah agenda utama, tambahnya.
Uggah, yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata Sarawak mengalami cuaca panas dan kering sejak minggu lalu dan semua jawatankuasa pengurusan bencana bahagian diarah berjaga-jaga terutama bagi kawasan panas yang berpotensi memburukkan kualiti udara.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya berada di dalam rumah bagi mengelak jerebu dan panas.
Beliau berkata orang ramai harus memakai pelitup muka, topi dan menggunakan payung untuk melindungi diri daripada matahari dan pencemaran.
Zaliha mengingatkan orang ramai supaya minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk kekal terhidrasi dan sejuk.
Beliau juga menggalakkan orang ramai kerap mandi.
“Elakkan memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap,” katanya sambil menambah pakaian sedemikian akan memerangkap haba. – 19 April, 2023.
Komen