Sivakumar disiasat SPRM sekali lagi, lapor media


Menteri Sumber Manusia V Sivakumar sebelum ini disoal siasat selama beberapa jam di ibu pejabat SPRM  pada Ahad lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April 2023.

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar disoal siasat agensi antirasuah sekali lagi Isnin lalu berhubung kes pengambilan pekerja asing, lapor Free Malaysia Today (FMT).

FMT memetik sumber melaporkan Sivakumar dipanggil untuk memberi keterangan kali kedua selepas disoal siasat selama beberapa jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Ahad lepas.

Seorang pegawai Sivakumar bagaimanapun menafikan menteri itu dipanggil semula SPRM, menurut portal itu.

Isnin lalu, Sivakumar menafikan SPRM menggeledah rumahnya. Ahli Parlimen DAP itu sebaliknya menyifatkan ia sebagai “lawatan”.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan SPRM akan memanggil beberapa lagi saksi baharu termasuk pemimpin sebuah parti politik bagi mendapatkan maklumat untuk menjejaki sejumlah besar wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Laporan memetik sumber itu menyebut agensi antirasuah itu menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat-syarikat tersebut terus mendapat kontrak.

“Keterangan tersebut mungkin akan membabitkan beberapa saksi terdiri dalam kalangan pegawai di kementerian, syarikat kontraktor serta agensi di bawah kementerian itu bagi memperkukuhkan siasatan.

“Mungkin juga, akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

“Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu,” kata sumber itu dipetik Utusan. – 19 April 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen