Polis siasat video Guan Eng menari, menyanyi lagu anti-GST


Looi Sue-Chern

Video nyanyian dan tarian tentang anti-GST itu dilihat ramai pengguna sosial sebagai 'tidak kena pada tempatnya' kerana Lim Guan Eng berbuat demikian di hadapan kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 19 Mac, 2018.

POLIS Pulau Pinang sedang menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkaitan videonya menyanyikan lagu anti-GST di sebuah majlis yang dihadiri kanak-kanak.

Ketua polis timur laut ACP Anuar Omar berkata, polis telah menerima tiga laporan tentang video itu.

“Laporan itu dibuat oleh tiga orang wakil organisasi bukan kerajaan dan Penang Front Party yang tidak berpuas hati dengan ketua menteri kerana mempergunakan kanak-kanak dalam klip video anti-GST itu sedangkan beliau tengah merasmikan program ‘Tuisyen Rakyat’ di Mutiara Idaman, Jelutong.

“Pegawai penyiasat sedang bercakap dengan pengadu tentang kenyataan mereka,” katanya kepada media melalui grup WhatsApp.

Anuar berkata, siasatan itu berada di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerana menyalahgunakan kemudahan internet dengan aksi “lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.”

Video nyanyian dan tarian Lim itu mula tular sejak Sabtu lalu.

Lirik lagu itu bermula dengan “ABCD GST” dan kemudiannya disambung dengan harga barangan dan gaji selain rakyat terpaksa makan mee segera.

Lagu itu turut menyentuh tentang rakyat yang terpaksa membayar cukai GST disebabkan skandal 1Malaysia Development Bhd.

Minggu lalu, Pakatan Harapan ketika melancarkan manifestonya menerapkan penghapusan GST dalam 100 hari andai kata berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sebagai orang yang ada pengaruh politik, tak sepatutnya Guan Eng menunjukkan contoh yang tak baik di hadapan kanak-kanak dengan menghasut pemikiran mereka supaya benci dengan kerajaan. Seperti kita semua tahu, kanak-kanak akan cepat terpengaruh dengan benda baharu. Jadi kitalah yang harus tunjuk contoh yang baik kepada mereka.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan