AHLI Parlimen Sungai Buloh Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Menurut laporan berita, empat lagi - Senator Sivarraajh Chandran (MIC), Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (DAP), Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran (PKR) dan Ketua Pengarah Mitra K Raveendran Nair - turut dilantik menganggotai jawatankuasa itu.
Unit itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Kesemua lima ahli berkenaan dilaporkan akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pertama esok.
Mitra dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak. Ia sebelum ini dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic).
Ia ditubuhkan untuk membantu kaum India miskin meningkatkan kapasiti pendapatan mereka.
Susulan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Sedic dibubarkan dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Selepas kejatuhan PH pada 2020, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Mitra dan penggunaan dananya menjadi tumpuan pada 2021 berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat, yang disyaki menggelapkan dana yang diperuntukkan oleh agensi itu.
Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti menerima geran berjumlah anggaran RM203 juta daripada Mitra, antara 2019 dan 2021.
Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengembalikan Mitra ke Jabatan Perdana Menteri berikutan permintaan presiden MIC S.A. Vigneswaran.
Ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri selepas kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran November lalu.
Semasa Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, memperuntukkan dana bernilai RM100 juta untuk Mitra. – 18 April, 2023.
Komen