Hari raya dan pilihan raya berpisah tiada


G Manimaran

Aidilfitri merupakan salah satu platform yang amat penting bagi aktor politik menjelang pilihan raya umum negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2023.

BERDASARKAN kata sepakat yang dicapai ketua kerajaan negeri awal tahun ini, pilihan raya umum bagi enam negeri dijangka akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan.

Jika tiada perubahan pembubaran serentak dijadual akan dibuat akhir bulan Jun, sekali gus pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah mula sibuk untuk melaksanakan salah satu daripada tiga fungsi yang diamanahkan oleh undang-undang dan perlembagaan negeri masing-masing, iaitu mengadakan pilihan raya.

Di sebalik itu, suhu politik ke arah pilihan raya negeri, di penghujung bulan Ramadan, juga sudah kembali meningkat.

Pada penghujung minggu ini negara, terutama umat Islam akan meraikan kedatangan Syawal. Sebahagian besat umat Islam akan pulang ke kampung halaman mereka untuk menyambut kedatangan Hari Lebaran. Kunjungan bukan Islam akan menambah kemeriahan Aidilfitri. Itulah keunikan Malaysia.

Pilihan raya umum melibatkan enam buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. Enam negeri yang tidak mengadakan pilihan raya serentak bersama Pilihan Raya Umum ke-15 peringkat parlimen pada 19 November lalu, yang telah mencipta sejarah tersendiri.

Apakah pilihan raya enam negeri juga bakal meletakkan detik tersendiri dalam lipatan sejarah negara?

Sejauh mana persekitaran sambutan Aidilfitri bakal membuka ruang ke arah itu?

Persekitaran menjelang pilihan raya umum bagi enam negeri terbabit sememangnya cukup menarik. Pilihan raya yang bakal berlangsung sejurus selepas sambutan Aidilfitri, raya pertama di era endamik, dan malah yang pertama selepas negara keluar sepenuhnya daripada gelombang pandemik Covid-19.

Selepas beberapa pilihan raya umum, Aidilfitri jatuh sekali lagi, beberapa bulan, sebelum pilihan raya umum. Sudah tentu, secara kebetulan, kedatangan hari penting bagi umat Islam kembali menjadi signifikan. Sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung ia bakal menghiasi perbualan ketika apa jua majlis yang akan diadakan sempena Syawal. Ketika sambutan di rumah ataupun di luar rumah, ataupun di mana-mana sahaja.

Menu yang bakal disediakan juga akan ditambah kesedapan dan menjadi penyedap tambahan sambutan. Bagi kebanyakan terutama aktor-aktor politik perbualan mengenai pilihan raya tidak dapat dipisahkan semasa hari-hari besar perayaan. Tidak kira Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, dan pesta-pesta yang disambut di Sabah dan Sarawak. Ia akan menjadi sebahagian daripada bahan perbincangan mereka yang mengikuti dengan dekat kelangsungan pilihan raya.

Bagi warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang kembali ke kampung halaman masing-masing, menyambut kehadiran dua ‘raya’ – Aidilfitri dan pilihan raya negeri boleh disifatkan sebagai signifikan.

Kebanyakan mereka ke Kelantan dan Terengganu atau ke utara Semenanjung seperti Kedah dan Pulau Pinang, empat daripada enam negeri yang bakal melangsungkan pilihan raya negeri masing-masing. Begitu juga mereka yang akan melangkah ke Selangor dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya akan menjadi agenda penting bahan perbualan.

Maka, kandungan agenda perbualan kali ini akan menjadi perhatian. Pentingnya pilihan raya negeri melibatkan enam negeri yang perlu diadakan sebelum Ogos-September.

Memandangkan keenam-enam mempunyai tempoh mandat yang berbeza, maka pembubaran automatik, jika tidak dibubarkan awal, akan berlaku pada waktu yang berbeza.

Pun begitu berdasarkan kata sepakat yang dicapai, yang buat julung kali berlaku, pembubaran kesemua Dewan Undangan Negeri, sepatutnya diisytiharkan akhir Jun ini.

Banyak isu sudah mula dibincangkan. Dan, ia akan tetap menjadi bahan perbualan.

Hendak mengekalkan parti atau gabungan sedia ada di peringkat negeri?

Bagaimana pula perbandingan karisma gabungan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional? Rekod pencapaian kerajaan perpaduan, satu bentuk kerajaan yang pertama dalam sejarah dan sambutan Aidilfitri julung kali bagi kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimana dengan isu harga barang, kos sara hidup dan bekalan makanan? Sudah tentu, bila pilihan raya negeri akan diadakan. Malah, status pengampunan ke atas Najib Razak juga akan menjadi perhatian.

Berdasarkan pengalaman lama cakap-cakap di meja sempena sambutan perayaan bukan baharu. Tetapi kali ini ia akan memperlihatkan kelainan. Sebagaimana begitu banyak kelainan yang kita saksikan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, ‘wajah’ dan ‘agenda’ perbincangan penghujung minggu ini akan berbeza.

Impak bahan perbualan secara tidak langsung boleh menjadi penentu arah aliran sokongan dalam pilihan raya negeri nanti. Kita tahu bahawa sentimen pengundi pada masa sekarang berubah dengan lebih kerap berbanding dua tiga dekad lalu. Ia berubah setiap hari, dan setiap masa. Sentimen sebelah pagi boleh berubah dengan mudah disebabkan pergerakan maklumat yang pantas menerusi media dalam talian, terutama media sosial, dengan begitu pantas.

Maka, hasil perbincangan boleh memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju awal siapa seseorang pengundi akan mengundi.

Sebahagian dapatan kajian pendapat umum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 lalu perbualan semasa perjalanan ke destinasi menjadi penentu keputusan di peti undi. Terutama dalam kalangan pengundi muda dan kali pertama mengundi. Kita juga telah dapat melihat dan sedang melalui impak keputusan mereka.

Saya yakin kesemua parti dan gabungan yang bertanding, sama ada yang lama dan yang baharu, yang pernah bertanding sebelum ini dan akan bertanding sebagai parti dan gabungan buat julung kali, akan menggunakan persekitaran sambutan untuk menghimpunkan undi atau sokongan kelak. Ahli-ahli politik dan parti mereka telah pun menyusun strategi masing-masing untuk mengoptimumkan sumber bagi memaksimumkan sokongan.

Aidilfitri merupakan salah satu platform yang amat penting bagi aktor politik menjelang pilihan raya umum negeri. Raya akan memeriahkan pilihan raya, dan kedatangan pilihan raya akan menambah kemeriahan sambutan raya.

Raya dan pilihan raya tidak dapat dipisahkan. Ia menambah “menu” yang akan kekal menyegarkan suasana.

Salam Hari Raya Aidilfitri! – 18 April, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen