Anwar perlu rombak Kabinet untuk percepat reformasi, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menggantikan menteri yang tidak cekap bagi menunjukkan keseriusan beliau dengan agenda reformasinya. – Gambar JPM, 19 April, 2023.

ANWAR Ibrahim perlu merombak Kabinetnya untuk mempercepatkan pembaharuan dan menawan pengundi Melayu, kata penganalisis kepada The Malaysian Insight.

Mereka berkata menteri seperti Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu masih terkial-kial selepas lima bulan memegang jawatan.

Terdapat 28 menteri Kabinet dan 27 timbalan menteri selain dua timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, manakala perdana menteri juga menteri kewangan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar berkata kerajaan perpaduan masih belum menunjukkan ia boleh mengumpulkan sokongan pengundi Melayu selepas hampir setengah tahun memerintah.

Sambil menyatakan pengundi Melayu adalah segmen penting, Hisomuddin berkata tanpa sokongan pengundi Melayu, sukar bagi Anwar untuk menentang naratif sayap kanan Melayu Islam yang dimainkan oleh musuh politiknya.

“Apabila Anwar menjadi PM, jangkaan tinggi di kalangan penyokong tegarnya yang mahukan reformasi dilaksanakan.

“Kini selepas lima bulan, sebahagian pembaharuan sedang dilaksanakan, walaupun tidak semuanya.

“Beberapa menteri tidak menunjukkan prestasi, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan reformasi.

“Jika benar tidak cekap, maka Anwar patut menggantikan mereka. Ini adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan beliau serius dengan agenda reformasinya. Jika selepas enam bulan masih tiada keputusan, maka ada sesuatu yang tidak kena,” kata Hisomuddin.

Hisomuddin kemudiannya memilih Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah bidang kuasa Mohamad Sabu.

“Saya tidak nampak banyak daripada kementerian dalam usaha meraih sokongan orang Melayu. Terutamanya orang Melayu luar bandar yang bekerja sebagai nelayan dan petani.

“Kementerian ini perlu bekerjasama rapat dengan masyarakat Melayu yang pada pilihan raya lalu memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional. Undi Melayu untuk Pakatan Harapan (PH) dan Umno jatuh, jadi mereka perlu lakukan sesuatu mengenai perkara ini,” tambahnya.

Perubahan portfolio

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan Hisommudin tetapi menegaskan Anwar boleh menukar portfolio menteri yang berprestasi rendah.

Beliau berkata pada masa ini Anwar nampaknya sedang bergelut untuk memenangi pengundi Melayu.

“Saya rasa Anwar sudah tahu siapa yang berprestasi baik atau sebaliknya. Rombakan adalah satu cara tetapi itu tidak bermakna menteri itu akan diganti. Beliau boleh tukar portfolio dengan menteri lain.

“Ini dapat mengurangkan ketegangan atau konflik dalaman terutama dalam kerajaan perpaduan ini. Tidak dapat dinafikan sesetengah menteri, kita tidak dengar apa-apa daripada mereka.

“Kalau boleh Anwar perlu merombak Kabinetnya selepas Hari Raya, sebelum pilihan raya negeri,” katanya. – 19 April, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen