Loke pelawa Wee tanya sendiri penumpang harga tiket ke Tawau


Ravin Palanisamy

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Wee Ka Siong boleh temu bual setiap penumpang penerbangan KL-Tawau pada Khamis ini berkenaan harga tiket pesawat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke menjemput bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong untuk melihat sendiri penumpang penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau pada Khamis ini susulan dakwaan Wee, harga tiket melonjak hingga RM3,000.

Loke berkata presiden MCA itu boleh temu bual sendiri penumpang berkenaan harga tiket.

“Saya ingin jemput beliau (Wee) untuk menghantar penumpang penerbangan KL-Tawau pada 20 April.

“Harga tiket adalah RM249 bagi penerbangan itu dan harganya sama untuk semua 185 penumpang.

“Jika beliau tidak percaya harga tiket serendah itu, saya jemput beiau temu bual setiap penumpang pada Khamis ini,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, Loke dan Wee saling berbalas kenyataan berhubung harga tiket penerbangan ke Tawau, Sabah.

Wee terdahulu mendakwa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau menaiki MAS mencecah RM3,138 pada 20 April.

Loke bagaimanapun menolak dakwaan itu, berkata ia tidak tepat dan harga tiket yang dikatakan itu merujuk kepada tiket kelas bisnes.

Katanya, semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan itu habis dijual.

Loke turut menyindir Wee yang dikatakan tidak tahu perbezaan antara tiket kelas ekonomi dan bisnes. – 17 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen