Sivakumar tidak perlu bercuti, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kes melibatkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar sedang disiasat dan tidak perlu baginya untuk bercuti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar tidak perlu bercuti susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan pekerja asing, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kes itu masih dalam siasatan dan menteri itu tidak didakwa dengan apa-apa.

“Sebagai contoh, jika saya sebagai perdana menteri dipanggil untuk memberi penjelasan dan membantu siasatan, adakah itu bermakna saya perlu meletakkan jawatan juga?

“Kita mesti tahu perbezaannya. Kes masih dalam proses siasatan, kita serahkan kepada SPRM.

“Jika tiada pertuduhan, maka tiada apa yang berlaku. Tetapi jika ada pertuduhan di mahkamah, lain ceritanya,” kata Anwar kepada pemberita petang tadi selepas merasmikan pelancaran buku di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Sivakumar belum diarahkan untuk bercuti.

Loke berkata Sivakumar hanya bekerjasama dengan SPRM semalam dalam siasatan rasuah mereka terhadap kelulusan pengambilan pekerja asing.

“Setakat yang saya maklum, beliau bukan suspek, cuma memberi kerjasama sebagai menteri dalam kes ini.

“Pada masa ini, kita akan memantau sebarang perkembangan..

Sivakumar sebaliknya menafikan laporan rumahnya diserbu SPRM semalam.

Ketika ditanya media untuk mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai serbuan itu, Sivakumar secara ringkas menjawab: “Tidak, tidak.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan di Le Meridien Putrajaya.

Utusan Malaysia, memetik sumber, melaporkan pagi ini Sivakumar disiasat SPRM berhubung dakwaan beliau menerima jutaan ringgit melalui orang tengah sebagai jaminan untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Ia berkata ahli Parlimen Batu Gajah itu diambil keterangannya selama sembilan jam semalam bagi membantu siasatan berikutan penahanan dua pembantunya minggu lepas berhubung perkara itu.

“SPRM juga dikatakan menggeledah pejabat dan rumah menteri terbabit bagi mengesan wang yang didakwa diperolehnya,” kata laporan itu.

Sumber SPRM mengesahkan perkembangan itu ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini. – 17 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen