MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar hari ini menafikan laporan rumahnya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketika dihubungi media untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan Utusan Malaysia berkenaan serbuan itu, Sivakumar secara ringkas menjawab “Tidak, tidak, tidak,”.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan di Le Meridien Putrajaya.
Utusan Malaysia memetik sumber pagi ini melaporkan Sivakumar sedang disiasat SPRM berhubung dakwaan beliau menerima jutaan ringgit melalui orang tengah sebagai jaminan untuk mendapatkan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
Laporan itu mengatakan ahli Parlimen Batu Gajah itu merekodkan kenyataannya dalam tempoh sembilan jam semalam bagi membantu siasatan berikutan penahanan dua pembantunya minggu lepas berhubung perkara itu.
“Pada masa sama SPRM juga dikatakan menggeledah pejabat dan rumah menteri terbabit bagi mengesan wang yang didakwa diperolehnya,” tambah laporan itu.
Sumber SPRM mengesahkan perkembangan terkini kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.
Semalam Sivakumar menggantung tugas tiga pembantunya berikutan penahanan mereka oleh SPRM semasa siasatan berhubung kelulusan pekerja asing.
Pada 28 Mac lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Sesi Soal Jawab (PMQ) Perdana Menteri di Dewan Rakyat membayangkan bukan sahaja ahli Parlimen pembangkang malah wakil blok kerajaan turut disiasat pihak berkuasa berhubung kes rasuah.
Anwar berkata beliau tidak tahu jawatan ahli Parlimen terlibat tetapi siasatan dibuat terhadap pihak terbabit.
Beliau berkata terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan terhadap individu terbabit. – 17 April, 2023.
Komen