Gunakan Ramadan muhasabah diri


SEMASA bulan Ramadan rata-rata masyarakat Malaysia mengamalkan pertuturan serta perlakuan yang berhemah dan berbudi bahasa.

Perwatakan dan sifat tersebut perlu disemai dan diteruskan pasca bulan Ramadan. Perlu ingat tiada guna jikalau seseorang menjaga ibadah tetapi tidak mengawal lidah.

Ini jelas dan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang antara lain menekankan tonggak kesejahteraan dan hormat.

Perasaan marah dan emosi adalah suatu perkara yang biasa. Tiada individu di dunia ini yang tidak mempunyai ego tersendiri. Malah saya sendiri juga mengalami perasaan sedemikian apabila diuji. 

Namun anggaplah ujian tersebut daripada Tuhan untuk menjadikan kita sebagai insan yang lebih baik.

Apa yang perlu dibuat adalah mengambil sedikit masa untuk memproses dan mengawal emosi kita untuk mengelakkan perbalahan yang menggunakan perkataan kurang sopan atau kesat.

Tidak dinafikan terdapat banyak video yang tular di sosial media, yang kita sebagai rakyat Malaysia dapat melihat sendiri penurunan dari segi aspek moral dan akhlak yang ditunjukkan sesetengah lapisan masyarakat. 

Perlu ingat kata-kata kesat, perlakuan kurang bermoral dan budaya terlebih liberal bukanlah cara orang Malaysia.

Justeru saya menyeru kepada semua masyarakat Malaysia untuk mengutamakan soal budi bahasa, mengamalkan pertuturan dan tingkah laku yang berhemah dan murni. 

Ia tidak patut dihadkan kepada musim perayaan atau bulan Ramadan. Jadikannya satu amalan hidup seharian.

Dalam pada itu wajar kita menggunakan bulan Ramadan sebagai panduan atau pedoman untuk mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan antara kaum. 

Gunakan bulan yang suci ini untuk melakukan muhasabah diri. Ingat kepada orang yang lebih susah, menghulurkan pertolongan secara ikhlas dan jagalah tingkah laku serta pertuturan.

Apa yang dinyatakan di atas bukan sesuatu yang baru atau asing. Perkara itu disemai dalam prinsip Rukun Negara. Berusaha untuk berbakti kepada Malaysia yang tercinta. – 17 April, 2023.

* Yeap Ming Liong, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen