Sivakumar gantung tugas setiausaha sulit


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar telah menggantung kerja setiausaha sulitnya bersama dua pegawai tugas khas berikutan penahanan mereka oleh SPRM berhubung siasatan kelulusan pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2023.

MENTERI Sumber Manusia V. Sivakumar telah menggantung kerja setiausaha sulitnya bersama dua pegawai tugas khas berikutan penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan berhubung kelulusan pekerja asing.

Setakat ini belum ada sebarang komen daripada menteri atau kakitangan kanannya mengenai perkara itu.

“Tiga pegawai telah digantung tugas oleh menteri berkuat kuasa serta-merta,” kata sumber kepada The Vibes, yang berkata beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai butiran tindakan tatatertib itu.

Terdahulu hari ini, Sivakumar dipanggil oleh agensi antirasuah untuk merakamkan kenyataannya berhubung penahanan dua pembantunya.

Menteri itu dilaporkan hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi untuk mendapatkan kenyataannya.

Semalam, ahli Parlimen DAP itu memberitahu pemberita bahawa SPRM masih belum menghubunginya tetapi jika dipanggil, beliau akan pergi dengan rela hati.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu kerana penahanan itu adalah sebahagian daripada proses siasatan (amalan pengambilan pekerja asing).

Seorang pembantu menteri menafikan Sivakumar adalah suspek dalam kes itu.

“Ia hanya formaliti. Menteri bukan suspek dalam kes ini. Beliau juga bukan saksi,” kata pembantu itu ringkas.

Menurut pembantu itu, Sivakumar meninggalkan bangunan SPRM selepas diambil keterangannya.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan komennya. – 16 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen