Adakah gambar bersama isteri dan keluarga ahli perniagaan pula selepas ini, soal Lim 


Looi Sue-Chern

Gambar isteri ahli perniagaan berkenaan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim yang diperoleh daripada media sosial turut ditunjukkan oleh Lim Guan Eng.– 19 Mac, 2018.

SELEPAS gambar kedua beliau bersama ahli perniagaan yag sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersebar di media sosial, Ketua Menteri Lim Guan Eng mempersoalkan siapa yang mendedahkan gambar berkenaan kepada media Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau tidak mempunyai gambar itu, berkemungkinan ia dimiliki ahli perniagaan terbabit dalam telefon pintarnya. 

“Mungkin terdapat lebih daripada dua gambar saya dengan ahli perniagaan terbabit dan malah mungkin lebih banyak diambil bersama isteri dan ahli keluarganya. 

“Adakah media BN akan tanya mengapa saya ambil gambar dengan isteri dan ahli keluarganya,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

“Adakah mengambil gambar dengannya, dengan isterinya dan keluarganya menjadikan saya kawan rapat? Jadi, adakah media BN akan menyiarkan (berita) mengenai gambar isterinya yang diambil dengan pemimpin BN?”

Lim kemudiannya menunjukkan gambar media sosial isteri ahli perniagaan terbabit dengan beberapa menteri BN seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim, Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dan Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam. 

Gambar terbabit dimuat naik pada 2015 dan 2016. 

“Adakah media BN akan mendapatkan penjelasan daripada menteri terbabit?

“Melihatkan kepada berapa banyak gambar isterinya bersama pemimpin BN, ia jelas bahawa mereka adalah penyokong kuat BN. Tidak hairanlah ahli perniagaan wanita India dilantik sebagai pengarah syarikat utama. 

“Media BN dinasihatkan agar tidak “mencari masalah,” kata Lim 

Sepanjang minggu lalu, beberapa akhbar dan portal berita menyiarkan satu lagi gambar Lim dan ahli perniagaan terbabit yang tersebar di media sosial. Gambar itu memaparkan Lim bersama ahli perniagaan terbabit dalam sebuah kereta.

Gambar pertama mereka, yang tersebar awal bulan ini menunjukkan mereka dalam sebuah rumah dengan menanggalkan kasut.

Ahli perniagaan terbabit disiasat SPRM kerana didakwa menerima RM19 juta daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang dianugerahkan projek terowong bawah tanah dan lebuh raya Pulau Pinang, yang juga di bawah siasatan SPRM.– 19 Mac, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen