Poland, Hungary haram import bijirin Ukraine


Poland dan Hungary semalam mengharamkan import bijirin dan makanan lain dari Ukraine bagi melindungi petani tempatan. – Gambar AFP, 16 April, 2023.

POLAND dan Hungary semalam mengharamkan import bijirin dan makanan lain dari Ukraine bagi melindungi petani tempatan, kata pegawai dari kedua-dua negara.

Eksport bijirin Ukraine melalui Kesatuan Eropah ke negara lain sejak laluan tradisional Laut Hitam negara yang dilanda perang itu disekat oleh pencerobohan Rusia.

Tetapi kerana isu logistik berlakunya lambakan bijiran dan harga diturunkan yang membawa kepada bantahan daripada petani dan peletakan jawatan menteri pertanian Poland.

“Hari ini kerajaan memutuskan untuk mengharamkan kemasukan, import bijirin ke Poland serta berpuluh-puluh jenis makanan lain,” kata pemimpin parti pemerintah itu Jaroslaw Kaczynski.

“Jika tidak ia akan membawa kepada krisis yang meluas dalam sektor pertanian Poland… Kita perlu melindungi pertanian Poland,” tambahnya.

Bercakap pada konvensyen parti sayap kanan Undang-undang dan Keadilan (PiS) di kampung utara Lyse, Kaczynski menegaskan Poland kekal sebagai penyokong tegar negara jiran Ukraine.

“Kami kekal, tanpa perubahan sedikit pun, kawan dan sekutu Ukraine,” katanya.

Dalam pengumuman yang sama Menteri Pertanian Hungary Istvan Nagy dalam mesej Facebook juga berkata Hungary mengharamkan import produk pertanian dari Ukraine.

Kedua-dua Warsaw dan Budapest berkata larangan akan dibuat sehingga 30 Jun.

Di Poland larangan itu akan dikenakan ke atas import bijirin, gula, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran, susu, telur dan bahan makanan lain.

Kenyataan kementerian pertanian Hungary yang dihantar kepada agensi berita MTI berkata bijirin, biji minyak dan beberapa produk pertanian lain akan diharamkan.

Menjawab pengumuman Poland, kementerian dasar agraria Ukraine semalam berkata mereka menyesali keputusan itu.

“Petani Poland berdepan situasi yang sukar, tetapi kami menekankan petani Ukraine berdepan situasi yang paling sukar” memandangkan perang, tambahnya.

Kementerian itu mencadangkan agar kedua-dua negara mencapai persetujuan baharu dalam beberapa hari akan datang yang akan memuaskan hati kedua-dua pihak.

Jurucakap kerajaan Poland Piotr Muller memberitahu agensi berita PAP mereka terbuka kepada tindakan lain yang boleh menstabilkan keadaan.

Budapest berkata dalam kenyataannya semasa tempoh larangan kerajaan menjangkakan penyelesaian tetap dan penggunaan langkah EU.

Hungary berkomitmen untuk mewakili kepentingan komuniti petani tempatan, tambahnya.

Bulan lalu, Poland dan Hungary adalah antara beberapa negara Eropah yang meminta bantuan daripada Kesatuan Eropah untuk mengatasi kesan bijirin murah Ukraine. – AFP, 16 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen