Cuepacs mohon kerajaan tambah baik skim pembantu tadbir N19


Adnan Mat berkata terdapat skim yang setara dengan skim pembantu tadbir yang grednya berubah seperti juruteknik yang sebelum ini di gred maksimum J17 bergerak ke J29. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2023.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui pertambahan gred daripada lantikan N19 kepada gred baharu.

Presidennya Adnan Mat berkata penambahbaikan itu wajar dilakukan kerana kira-kira 350,000 pegawai pembantu tadbir di bawah skim itu menjalankan tugas yang melangkaui tugasan hakiki berdasarkan skim sedia ada.

“Skim ini dipanggil skim pembantu tadbir yang berkhidmat melangkaui tugasan biasa yang mereka ada satu ketika dulu, tetapi oleh kerana kelayakan semasa kemasukan, mereka masih dikekalkan dalam kelayakan masuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) maka itulah gajinya, sedangkan tugasan harian melangkaui beban skim yang sedia ada.

“Fungsi kita (pembantu tadbir) berubah kerana zaman juga berubah, seluruh dunia berubah, kena ubah bentuk skim ini, kerana dengan cara ini kita ada sedikit kelegaan dalam bentuk kenaikan gred dan kelebihan kenaikan gaji tahunan yang boleh berubah sedikit daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi Cuepacs di Kuala Lumpur hari ini bagi membincangkan perkara itu.

Adnan berkata terdapat skim yang setara dengan skim pembantu tadbir yang grednya berubah, seperti juruteknik yang sebelum ini di gred maksimum J17 bergerak ke J29.

“Pembantu tadbir kewangan sudah berubah nama jawatan kepada pegawai audit dan naik gred kepada W29. Itulah yang kita mahukan kerana yang setara lantikan dengannya berubah, maka ini juga kita minta daripada kerajaan, dengan cara ini supaya mereka ada sedikit kelebihan dengan kenaikan gaji,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap penjawat awam dengan memberikan pembayaran emolumen dan bantuan khas kewangan Aidilfitri yang diawalkan kepada semalam.

“Ini adalah satu bantuan untuk berbelanja bagi tujuan memenuhi kehendak keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri… bagaimanapun, kita hendaklah bijak berbelanja agar tidak menjadi masalah di hari kemudian,” katanya.

Pada 10 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam Persekutuan akan menerima  bantuan khas kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 dan bayaran gaji pada 14 April, iaitu awal tiga hari berbanding 17 April seperti dijadualkan sebelum ini. – Bernama, 15 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen