KERAJAAN perpaduan persekutuan mesti berhati-hati dalam menangani pelantikan politik jika mahu terus berkuasa lebih dari sepenggal, kata pemerhati.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Pakatan Harapan (PH) harus berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan rakan kongsi utamanya GPS apabila merujuk kepada pelantikan timbalan pengerusi PKR Sarawak Abun Sui Anyit dan Roderick Wong dari DAP ke Dewan Negara dan ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii sebagai penasihat khas menteri kesihatan.
PH meletakkan Abun di Belaga dan Wong di Sarikei pada pilihan raya negeri namun kedua-duanya kalah.
Pelantikan Yii dikecam dan dianggap bertindih kerana negeri itu sudah mempunyai menteri kesihatan awam, perumahan dan kerajaan tempatan Dr Sim Hui Kian.
Awang Azman berkata, PH perlu telus dalam pelantikannya dan harus berusaha untuk “mencapai persefahaman bersama” dengan GPS apabila ia membabitkan kepentingan Sarawak.
Beliau berkata, PH harus bertindak bijak dengan merujuk kepada GPS terlebih dahulu mengenai sebarang pelantikan penting.
Ahli PH dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, komponen GPS, juga terkejut apabila Ahmad Nazib Johari dari PKR didakwa dilantik sebagai pengarah J-Kom Sarawak.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bagaimanapun cuba meredakan ketegangan itu apabila menafikan mengenai pelantikan itu.
Pakar tadbir urus Asia di Universiti Tasmania, James Chin berkata pelantikan itu menjadi petanda PH sedang bersiap sedia bagi pilihan raya negeri akan datang.
Chin berkata, memandangkan DAP diketepikan daripada kabinet Persekutuan atas desakan GPS, PH perlu memberikan DAP “hubungan langsung dengan kerajaan.”

Tanpa hubungan langsung itu, Chin berkata, sukar bagi PH Sarawak untuk menentang GPS pada pilihan raya akan datang.
GPS mungkin menyokong PH - terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - di peringkat Persekutuan tetapi PH Sarawak adalah pakatan pembangkang di peringkat negeri.
Chin berkata PH mesti menunjukkan PH Sarawak adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan oleh itu mempunyai sumber untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke kawasan luar bandar.
“GPS (akan) memahami ini semua adalah sebahagian daripada gerakan PH untuk mencabar kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.”
Chin berkata, melainkan PH dan GPS boleh mencapai persefahaman mengenai pelantikan politik, “Kita boleh mengharapkan PH untuk menentang GPS dalam pilihan raya negeri akan datang.”
Awang Azman bersetuju.
“Mereka perlu mempunyai persefahaman bersama tanpa sebarang publisiti buruk,” katanya. – 16 April, 2023.
Komen