PEMBANGKANG menuntut agar sebuah jawatankuasa pilihan Parlimen dibentuk terlebih dahulu bagi meneliti draf persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya ia dibentang di Parlimen pada Khamis ini, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Katanya lagi, laporan itu juga perlu diberi masa secukupnya untuk diteliti sebelum pengundian dilakukan dan beliau menambah Parlimen tidak boleh dijadikan alat untuk meluluskan draf laporan secara terburu-buru.
“Parlimen tak boleh menjadi rubber stamp (cap getah). Ia perlu diberi masa untuk meneliti laporan dan mengkaji serta mengambil keputusan.
“Saya cadangkan supaya satu PSC dibentuk untuk mengkaji laporan SPR sebelum undian dibuat. Jawatankuasa itu sepatutnya diberi sekurang-kurangnya empat minggu untuk meneliti cadangan tersebut,” kata Lim kepada media hari ini.
Beliau berkata usaha kerajaan untuk “memaksa” cadangan itu diluluskan Parlimen sebagai mengejutkan dan “penghinaan besar” kepada Parlimen.
Tambahnya, Speaker Pandikar Amin Mulia harus mengambil perhatian terhadap perkara ini.
“SPR telah memperuntukkan sedikit masa menyediakan laporan mengenai persempadanan semula tetapi kajian semula tidak dijalankan mengikut Perlembagaan.
“Di Selangor, masih terdapat kira-kira 200 penandatangan petisyen yang memohon membantah SPR masih belum dipanggil supaya kes mereka didengar.”
Beliau juga menganggap, tindakan kerajaan untuk meluluskannya dengan majoriti mudah di parlimen sebagai satu lagi tanda penghinaan kepada Parlimen.
Seorang lagi ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham berkata laporan persempadanan semula tidak boleh dibawa ke Parlimen kerana masih ada SPR masih lagi berdepan dengan kes di mahkamah mengenai perkara tersebut.
“Ia tidak boleh dikemukakan di Parlimen kerana mahkamah masih belum memutuskan mengenai lapan soalan yang diajukan oleh kerajaan Pulau Pinang,” kata Ngeh.
Usul itu difailkan pada Jumaat lalu dan dijangka diserahkan hari ini.
Katanya langkah itu selari dengan keputusan Pandikar yang menghalang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibahaskan di Parlimen kerana terdapat satu kes berkaitan isu itu di Amerika Syarikat.
SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri Najib Razak pada 9 Mac. – 19 Mac, 2018.
Komen