PM perlu turun padang rasai kesusahan rakyat, kata PPIM


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim diminta turun padang untuk merasai kesengsaraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2023.

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim turun padang bagi merasai kesengsaraan rakyat.

Pegawai khas PPIM Gulab Jan Fazal Eladi berkata kumpulan itu memahami rungutan rakyat kerana mereka yang pertama menerima aduan daripada orang ramai.

“Langkah kerajaan membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan Akaun 2 sebagai cagaran untuk pinjaman bank kecemasan tidak akan membantu mereka yang tidak bekerja,” keluhnya.

Gulab diiringi wakil dari Persekutuan Hak Asasi Manusia Global dan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) yang berkumpul di luar ibu pejabat KWSP hari ini.

Mereka membantah rancangan membenarkan akaun KWSP digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman.

Mereka mahu KWSP membenarkan satu lagi pengeluaran khas.

Bulan lalu kerajaan memperkenalkan skim yang membolehkan pencarum KWSP memohon pinjaman bank dengan menggunakan dana persaraan mereka sebagai cagaran.

Anwar berkata kemudahan ini hanya untuk mereka yang sangat memerlukan wang. 

Protes hari ini mengetengahkan dua perkara penting. Salah satunya ialah bantahan terhadap rancangan membenarkan akaun KWSP digunakan sebagai cagaran pinjaman.

Alasan lain adalah untuk mendapatkan sokongan KWSP dalam membenarkan satu lagi pengeluaran khas.

Sementara itu Presiden PGIR Azmie Bugis menyeru KWSP dan Kementerian Kewangan mengadakan sesi taklimat bersama pencarum KWSP bagi mendengar kesusahan mereka.

Menurut Azmie 300,000 pencarum memerlukan akses kepada dana mereka untuk membayar hutang meminta bantuan NGOnya.

Tambahnya selain membenarkan satu lagi pengeluaran KWSP, kerajaan perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada pencarum KWSP yang kini tiada kerja serta menyemak semula gaji bagi menggambarkan kos sara hidup yang tinggi sekarang.

Azmie turut menyeru Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar supaya membantu rakyat. – 14 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen