BEKAS ketua pegawai eksekutif (CE0) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta dua tahun lepas.
Mohamad Madani Sahari, 56, didakwa menerima RM5 juta daripada Kenny Khow Chuan Wah sebagai upah membantu syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapat surat penganugerahan (LOA) bernilai RM12 juta.
Kesalahan didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Seksyen 15, Shah Alam, pada 8 Julai 2021.
Madani didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan Madani diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Hakim Rozilah menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.
Madani merupakan CEO MARii, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sejak April 2010.
Minggu lalu kerajaan umum pelantikan Azrul Reza Aziz sebagai CEO baharu MARii berkuatkuasa 10 April.
Mac lalu, SPRM dilaporkan menahan 10 individu bagi membantu siasatan terhadap projek di bawah MARii. – 14 April 2023.
Komen