DATUK Bandar Kuala Lumpur harus dipilih dan bukan dilantik untuk memastikan akauntabiliti yang sewajarnya ditunjukkan untuk pengurusan ibu kota, kata Muda parti berasaskan belia.
Jawatankuasa Wilayah Persekutuan parti itu berkata di bawah sistem pelantikan sekarang, datuk bandar bertukar tetapi keputusan tetap sama.
“Secara realitinya, dewan bandaraya (DBKL) dilihat tidak wujud kepada rakyat. Nampaknya juga tiada cara untuk mengukur akauntabiliti mereka dalam masyarakat kerana mereka dilihat jauh daripada masyarakat.
“Selain itu, kegagalan DBKL menyelesaikan masalah penduduk sering menjadi isu dalam kalangan pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati,” kata parti itu dalam satu kenyataan.
Semalam, pengarah eksekutif (pengurusan projek) DBKL Kamarulzaman Mat Salleh dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 17 April.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata pelantikan itu bagi menggantikan Mahadi Che Ngah di bawah subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190).
“Saya percaya dengan pengalaman Kamarulzaman, beliau boleh mengukuhkan lagi tadbir urus dan fungsi PBT yang dilaksanakan DBKL dan terus memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Muda berkata suara dan kebimbangan rakyat KL kini hanya dibawa oleh ahli Parlimen mereka.
“Tetapi menangani isu majlis tempatan bukanlah tugas penggubal undang-undang.
“Untuk menangani masalah penduduk yang ramai bukan mudah. Jadi mesti ada pilihan raya atau proses demokrasi yang membolehkan penduduk Kuala Lumpur memilih datuk bandar mereka.”
Muda menambah, implikasi daripada sistem yang tidak mempunyai akauntabiliti kepada pembayar cukai akan mengakibatkan rasuah.
“Lebih telus jika penduduk atau pengundi tahu ke mana dewan bandaraya berbelanja (dana pembayar cukai) dan lebih baik penduduk dan pengundi boleh memantau dan mempertanggungjawabkan wakil rakyat.
“Ini adalah proses demokrasi yang betul. Oleh itu, peruntukan yang memberi kuasa untuk memilih datuk bandar harus digubal.”– 14 April, 2023.
Komen