Jangan buat spekulasi isu penahanan pembantu, kata Sivakumar


Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan berkaitan penahanan pembantunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar menggesa media supaya tidak membuat spekulasi atau andaian berkaitan penahanan pembantunya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan menteri itu berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

“Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.

“Justeru itu saya berharap pihak media tidak membuat sebarang spekulasi atau andai yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga agensi siasatan yang berkenaan selesai,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Pagi ini SPRM menahan pembantu itu dalam siasatan rasuah berhubung pengambilan pekerja asing.

Pembantu itu sepatutnya ditahan semasa serbuan di kementerian pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan pembantu itu bersama beberapa yang lain dalam maklum balas ringkas kepada The Malaysian Insight.

SPRM dipercayai menyerbu pejabat itu berikutan dakwaan mereka yang terlibat menubuhkan pengambilan pekerja asing walaupun terdapat konflik kepentingan kerana mereka dikaitkan dengan kementerian itu. – 13 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen