Kemasukan hospital akibat Covid-19 meningkat pada April, kata Zaliha


Ravin Palanisamy

Jumlah kemasukan hospital akibat Covid-19 meningkat sebanyak 17.6 peratus pada April berbanding Mac tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.

JUMLAH kemasukan hospital akibat Covid-19 meningkat sebanyak 17.6 peratus pada April berbanding Mac tahun ini, kata Kementerian Kesihatan.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata, peningkatan kemasukan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

“Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah daripada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi.

“Bagaimanapun kebanyakan kes mempunyai simptom ringan, stabil dan situasi Covid-19 tidak membimbangkan,” kata Zaliha dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menambah kadar kematian kes Covid-19 antara awal tahun dan kini mencapai 0.3 peratus daripada jumlah jangkitan berbanding gelombang Delta yang mempunyai CFR tinggi sebanyak 2.1%.

“(Daripada kematian yang direkodkan tahun ini) 63.8% melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas manakala 90.7% adalah dalam kalangan individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya.

Beliau juga berkata kematian pesakit yang tidak pernah diberi vaksin adalah enam kali lebih tinggi daripada pesakit yang menerima satu dos penggalak.

Zaliha berkata sehingga 11 April hanya 16,325,561 (50%) penduduk Malaysia menerima suntikan dos penggalak pertama dan hanya 818,420 (2.5%) yang menerima dos penggalak kedua.

“Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan simptom boleh dikurangkan dengan mengambil dos penggalak.

“Oleh itu orang ramai terutamanya individu berisiko tinggi dinasihatkan untuk mendapatkan dos penggalak kerana imuniti yang semakin berkurangan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas dos terakhir,” katanya.

Sempena musim perayaan Zaliha menggalakkan orang ramai menggunakan topeng pelitup muka apabila berada di tempat awam yang sesak dan terkurung. – 13 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen