HIMPUNAN gergasi gereja yang dirancang di Melaka akan mempunyai unsur Zionism, dakwa PAS, yang mendesak kerajaan menghentikan perhimpunan itu, bimbang ia akan mempengaruhi orang Islam
Dikenali sebagai ‘Jerusalem’s Jubilee’ dianjurkan Calvary Life Assembly Chinese (CLAC)- sebuah pergerakan Kristian dalam negara- dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 18 Jun depan.
Poster acara itu memaparkan sebuah “menorah” emas gergasi tertulis “All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation” yang juga ditulis dengan warna emas.
Ketua Penerangannya Nasaruddin Hassan Tantawi berkata penganjuran tersebut dilihat sebagai satu bentuk provokasi terhadap masyarakat Islam di negara ini.
“Kita tidak menyekat dan menghalang kebebasan agama. Tapi sambutan ini tidak mempamerkan keharmonian beragama yang sedia ada di Malaysia sejak sekian lama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Melaka membuat laporan polis supaya menyiasat penganjuran tersebut.
Ketuanya Ahmad Bilal Rahudin berkata yang menimbulkan kebimbangan apabila tokoh dan pastor jemputan dalam perhimpunan tersebut pernah membuat ucapan menghasut untuk menyebarkan dakyah mereka di Malaysia.
Sebagai contoh, tokoh dijemput adalah pengasas All Nations Convocation Jerusalem, Tom Hess yang pernah membayangkan Malaysia dalam masalah dan perlu diselamatkan seterusnya mengubah nasib negara ini menjadi ‘Gerbang Emas Pemangkin Negara Kebangkitan.
“Ia jelas berunsur hasutan khususnya terhadap penganut Kristian di negara ini.”
Manakala, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Yusof dalam reaksinya menyatakan yang penganjuran acaran itu mengesahkan dakwaannya wujudnya agenda Kristianisasi di Malaysia.
Katanya amat mencurigakan apabila acara itu dilakukan semasa bulan Ramadan.
“Kisah ini kelihatan selari dengan kenyataan Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh dalam bukunya bahawa Tuhan ada rancangan untuk golongan Kristian di Malaysia,” katanya dalam kenyataan medianya.
Nasaruddin juga berkata setakat ini tiada lagi rancangan protes parti Islam tersebut semasa acara itu berlangsung.
“Setakat ini belum ada lagi kita mahu pantau tindakan kerajaan dulu.” katanya.
Kumpulan haluan kanan orang Melayu, Perkasa pula berkata yang acara itu sebagai satu penghinaan kepada Malaysia dan Islam kerana acara itu didakwa menyambut kemenangan Israel dalam Perang 6 Hari menentang Palestin yang berlaku 50 tahun lalu.
“Kenapa pihak Kristian Malaysia memilih untuk menyambut sambutan ke 50 Tahun kemenangan tentera Israel menggodam bumi Palestin pada bulan Ramadan dan di Melaka pula?” kata Dr Amini Amir Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
“Perkasa juga percaya sambutan ini ada kaitan dengan gerakan evangelisme di Malaysia. Program ini menjemput tokoh-tokoh Kristian dari luar negara bagi tujuan menghasut penganut Kristian Malaysia untuk mendokong gerakan Zionisme dan mengkelam-kabutkan keharmonian dan kedamaian di Malaysia dan seterusnya menjadikan negara Islam Malaysia sebagai sebuah negara berorientasikan Golden Gate Christian bagi tujuan kebangkitan Israel yang tertekan.
“Perkasa membantah sekeras-kerasnya program seumpama ini yang tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam dalam negara ini bahkan menghina umat Islam, mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.”
Calvary Life Assembly Chinese tidak menjawab panggilan daripada The Malaysian Insight bagi mendapatkan penjelasan mereka. – 5 Jun, 2017.
Komen