Aktiviti industri, kuari di Nilai mungkin punca jerebu, kata MB


Keadaan jerebu yang berlaku di Seremban, hari ini. – Gambar Facebook, 12 April, 2023.

KEADAAN jerebu di sekitar Seremban ketika ini kemungkinan berpunca daripada kerja-kerja perindustrian dan kuari di Nilai, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau sudah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi perhatian dan melakukan operasi di kawasan tersebut supaya keadaan jerebu dapat dikawal dengan baik.

“Saya sudah arahkan JAS pada dua minggu lepas supaya beri perhatian perkara ini agar ia tidak menyumbang ke arah Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin teruk…memang ada beberapa tempat berhabuk dan kering.

“...dari lebuh raya juga kita boleh nampak ada habuk dan debu. Saya juga menyeru penduduk di negeri ini tidak melakukan pembakaran terbuka berhampiran rumah atau kebun dalam waktu ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bacaan IPU 118 tidak sihat direkodkan di Seremban susulan jerebu pada 10 pagi tadi.

Menurut laporan itu daerah lain mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana namun menghampiri tahap tidak sihat iaitu Cheras (90), Banting (90,) Tanah Merah (91) dan Nilai (96). – Bernama, 12 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen