KWSP nafi pinda akta halang pesara keluar duit, ada krisis tunai


Dalam satu kenyataan, KWSP berkata ia sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2023.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan spekulasi yang mendakwa dana persaraan itu menghadapi krisis tunai.

Selain itu KWSP turut menyangkal Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata ia sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.

Jelas KWSP, segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya sambil menegaskan langkah itu bukan untuk membayar pengeluaran prapersaraan.

“Malah terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19,” kata kenyataan itu.

KWSP mengeluarkan kenyataan bagi menafikan spekulasi yang tersebar melalui WhatsApp yang merujuk kepada satu rencana akhbar antarabangsa bertarikh 7 April 2023, bertajuk “Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon”.

“Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara disebabkan oleh isu struktur seperti gaji rendah yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda,” katanya.

Menurut BNM di dalam laporannya, simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55 dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik.

Laporan itu selanjutnya menyatakan rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050.

Selain itu golongan milenial dalam lingkungan umur 26-40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara kerana ramai berhadapan kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.

“Pengeluaran khas berkaitan pandemik juga menyebabkan pengurangan signifikan dalam jumlah simpanan persaraan ahli,” jelas KWSP.

Sehingga Mac 2023, 70.5 peratus daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18-55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur manakala 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.

Justeru tahap simpanan mereka kekal rendah dengan median simpanan sebanyak RM890.

“Keutamaan kami dalam perkara ini adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991

“KWSP juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik,” katanya.

Ia turut menyarankan ahli agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial. – Bernama, 12 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen