Azlan Man didakwa ubah wang haram RM1.06 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas menteri besar Perlis Azlan Man ketika keluar daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 April, 2023.

BEKAS menteri besar Perlis Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima lagi tuduhan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.

Azlan memohon dibicarakan sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Tidak mengaku salah,” katanya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Azlan didakwa menyembunyikan asal-usul wang yang diperoleh secara haram itu melalui pemindahan yang melibatkan bank asing atau perniagaan yang sah.

Pengubahan wang haram itu didakwa berlaku antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 melibatkan syarikat Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesemua wang itu didakwa diterima tertuduh melalui cek dan juga secara tunai.

Azlan didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun.

Pendakwaan diljalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Azlan.

Dua hari lalu, Azlan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan tuntutan palsu membabitkan RM1.185 juta di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis.

Ia berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Azlan menjadi Adun Pauh pada 2013 hingga 2018 sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, sebelum tewas pada PRU15.

Beliau yang merupakan menteri besar Perlis dari 2013 ke 2022 turut gagal mempertahankan jawatan ketua Umno Kangar dalam pemilihan parti itu baru-baru ini. – Bernama, 12 April, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen